Ujian Kepada Murid Tahun Satu Dalam Tempoh Dua Bulan

PUTRAJAYA, 7 Jan - Kementerian Pelajaran akan mengadakan ujian dalam tempoh dua bulan ini kepada murid Tahun Satu bagi mengenal pasti tahap kemahiran mereka dalam menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata melalui pendekatan 3M itu, yang akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (Linus), pihaknya dapat mengetahui tahap setiap pelajar sebelum ditempatkan di kelas masing-masing.

Beliau berkata kelas-kelas pemulihan akan diberikan kepada murid-murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M selepas siri ujian itu dilakukan.

"Kita akan mengambil inisiatif secara menyeluruh. Semua murid yang masuk Tahun Satu, kita kena pantau dalam tempoh beberapa bulan, kita akan buat ujian.

"Jika terdapat pelajar yang tidak berapa sempurna penglihatan atau pendengaran sehingga sukar untuk kuasai 3M, kita akan adakan program khusus kerana matlamat kita, selepas tiga tahun bersekolah semua murid dapat menguasai 3M," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin berkata pengenalan program Linus pada peringkat sekolah rendah akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M.

Katanya kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah pada masa ini adalah 87 peratus dan peningkatan sebanyak tiga peratus disasarkan pada tahun ini.

Beliau berkata kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama Petubuhan Pendidikan, Saintifik dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memastikan sistem pendidikan negara terus relevan dan berdaya saing.

Langkah itu, katanya bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambah baik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran serta aspek-aspek lain secara keseluruhannya.

"Kajian tersebut mungkin mengambil masa antara enam bulan hingga setahun," katanya.

Sumber BERNAMA

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.