Kadar Penyertaan Murid Prasekolah Akan Ditingkatkan

PUTRAJAYA, 7 Jan - Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak lima peratus kepada 72 peratus tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu merupakan tumpuan Kementerian Pelajaran kepada usaha untuk mencapai sasaran awal bagi satu daripada empat sub-bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan tahun ini.

"Penyertaan kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.

"Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid," katanya pada majlis Perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Tiga sub-NKRA pendidikan yang lain ialah penguasaan 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS); melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi; dan merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.

Menjelaskan lanjut, Muhyiddin berkata bagi mencapai sasaran lima peratus kementerian menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun ini.

"Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)," katanya. Mengenai program LINUS, beliau berkata pengenalan program itu pada peringkat sekolah rendah akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M.

"Pada masa ini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak tiga peratus iaitu kepada 90 peratus," katanya.

Beliau berkata guru-guru terbaik akan ditempatkan untuk mengajar Tahun 1 dan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah seorang guru kepada 15 murid berbanding nisbah sedia ada iaitu seorang guru kepada satu sekolah.

Muhyiddin berkata kumpulan guru, yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program Linus, akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata bermula tahun ini, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran pencapaian bagi membolehkan insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan diberikan kepada pengetua dan guru besar yang mencapai kedudukan tertinggi atas sumbangan mereka.

Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi, Muhyiddin berkata sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini bagi merealisasikan matlamat untuk menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 69 buah Sekolah Menengah Teknik distruktur semula untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional dan kementerian merancang program terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi satu daripada bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima sumbangan daripada Petronas sebanyak RM2 juta bagi Tabung Kumpulan Wang Simpanan Pelajar Miskin yang menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar sekolah yang memerlukan.

--BERNAMA

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.