Merentas Desa 2010

Acara merentas desa telah selesai dijalankan pada hari jumaat 29 jan 2010. Pada jam 7.30 pagi semua murid berkumpul di padang sekolah untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh En Tarmizi (PK Kokurikulum) dan En Farizal (Setiausaha Sukan) mengenai peraturan dan kutipan mata bagi setiap kategori. Perkara utama yang ditekankan dalam taklimat tersebut adalah mengenai aspek keselamatan.

Para peserta sedang mendengar taklimat

Para pegawai bersiap sedia untuk ke chek point masing-masing

Semua murid diwajibkan memakai kasut sukan dan dilarang berkaki ayam semasa merentas desa kerana boleh mendatangkan kecederaan seperti terpijak kaca dan sebagainya. Selepas taklimat semua murid menjalankan aktiviti senaman ringan atau regangan untuk memanaskan badan.
Pulun kuning ... pulun

Ada 3 jarak jauh yang telah ditetapkan mengikut kategori A, B dan C. Kategori A dilepaskan dahulu dan diikuti oleh kategori B dan C. Anggaran jarak yang dilalui oleh peserta kategori C ialah 2 .5 km , kategori B sejauh 3.5 km dan kategori A sejauh 4.5 km.
Ini seorang lagi peserta rumah kuning ... macam mana kuning boleh dapat mata ciput ?
Acara selesai sekitar jam 10.30 pagi. Selepas itu semua murid berehat di kantin sekolah. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh guru besar SKPHT iaitu Pn Hjh Hayati Bt Samsudin pada jam 11.30 pagi dan majlis selesai jam 12.00 tengah hari.

Kategori lelaki A - Johan Biru Naib Johan Hijau dan Ketiga Merah

Pada tahun ini rumah hijau telah mengungguli acara merentas desa ini dengan memungut sebanyak 98 mata, diikuti oleh rumah biru dengan 92 mata, manakala rumah merah ditempat ketiga dan kuning keempat. Sekalung tahniah kepada PK Kokurikulum, Setiausaha sukan dan semua guru atas kerjasama yang diberikan sehingg aktiviti yang dirancang dapat berjalan lancar.

Guru Besar sedang menyampaika hadiah kepada salah seorang pemenang dari kategori C

Baca seterusnya...

Sukantara Kategori A dan B


Khamis , 28 Jan 2010 - Hari ini selesailah sudah acara sukantara untuk kumpulan A dan B. Acara sukantara untuk kumpulan A dan B telah bermula sejak semalam iaitu petang hari rabu. Kumpulan A atau kategori A adalah untuk murid-murid tahun 5 dan 6 manakala kumpulan B atau kategori B adalah untuk murid-murid tahun 3 dan 4.

Sesi memanaskan badan sebelum acara bermula

Acara lompat tinggi

Acara yang dipertandingkan ialah larian 100 meter , 200 meter, lompat jauh, lompat tinggi dan melontar peluru. Hari ini makin bertambah mata untuk rumah-rumah sukan. Semua murid begitu bersemangat untuk menambahkan mata untuk rumah sukan mereka.

Gelanggang lompat tinggi

Acara melontar peluru

Lompat jauh ... macam terbang kan !

Peserta rumah hijau sedang melompat dengan penuh bergaya

Baca seterusnya...

Berbaloikah perkhidmatan yang diperolehi ?


Anda pernah dengar tentang speedtest ? Rasanya mungkin dah biasa dengar dan bisa menggunakannya. Sebenarnya speedest adalah perkhidmatan untuk menguji sejauh mana kelajuan capaian internet anda. Jika anda menggunakan perkhidmatan streamyx atau broadband sudah pasti anda mahukan kelajuan seperti apa yang ditawarkan. Tetapi adakah anda benar-benar mendapat apa yang ditawarkan berbanding dengan bayaran yang anda berikan ? Berbaloikah bayaran yang anda beri kepada mereka yang menawarkan perkhidmatan kepada anda selama ini ?

Sebagai contoh, anda membeli sekilo gula dengan harga RM1.65, tetapi peniaga hanya membekalkan gula yang kurang satu kilo seperti yang anda mahukan, sedangkan anda membayar dengan harga sekilo. Perkara ini belaku tanpa anda sedari.

Selain speedtest ada satu lagi perkhidmatan yang dinamakan pingtest. Benda ping rasanya kita dah biasa dengar dan buat ping, betul tak. Apabenda ping ni. Pingtest adalah ujian untuk melihat kualiti capaian internet anda.

Contohnya macam gula tadi. Anda membeli sekilo gula dengan harga RM1.65 sekilo. Gula yang ditawarkan adalah gred A. Tetapi apa yang diberi kepada anda adalah dari gred B atau C tanpa anda sedari sedangkan anda membayar untuk gula gred A. Siapa yang rugi dan tertipu ... ?

Jika anda tidak berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan maka anda perlu segera hubungi pembekal perkhidmatan untuk mendapatkan penjelasan dan membetulkan apa yang tidak betul. Setakat ini saya dah buat komplain tentang perkhidmatan streamyx dirumah saya yang terlalu perlahan sejak kebelakangan ini dan mereka telah membetulkan kesilapan yang berlaku dengan menukar port baru . Alhamdulillah ... speed dah meningkat seperti yang ditawarkan tetapi masih tidak stabil. Ping masih gred B.

Setakat ni negara no. 1 yang paling laju menawarkan internet ialah Korea Republik dengan 23.66 Mb/s untuk download. Manakala Malaysia berada ditempat ke 76 dengan kelajuan 2.19 Mb/s untuk download dan 0.60 Mb/s untuk upload. Jauh ketinggalan kita bro ...
Untuk menguji kelajuan capaian internet anda boleh pergi ke http://www.speedtest.net atau http://speedtest.tm.net.my . Untuk menguji kualiti capaian internet , anda boleh gunakan http://www.pingtest.net. Selamat mencuba.


Baca seterusnya...

Sukantara Bermula

Rabu 27 Jan 2010 - Hari ini bermulalah acara sukantara bagi mengumpul sebanyak mungkin mata untuk rumah sukan masing-masing. Acara bermula dengan kumulan C yang terdiri dari murid-murid tahun 1 dan 2. Bagi kumpulan C , acara yang dipertandingkan dalam sukantara ini ialah lari 100 meter dan lompat jauh.

En Termizi (PK Kokurikulum) sedang memberi arahan kepada para peserta

Bagi acara larian 100 meter dan lompat jauh 3 agihan mata diperuntukkan kepada setiap murid yang berjaya melepasi tahap yang telah ditetapkan iaitu 3 mata, 7 mata dan 10 mata. Mata yang diperolehi adalah bergantung kepada kepantasan masa bagi larian 100 meter dan jarak jauh lompatan bagi lompat jauh.

Ini dia orang kuat sukan SKHT yang banyak membantu menjayakan acara sukan pada setiap tahun (Dari kiri : En Helmy dan En Farizal)



Baca seterusnya...

Jangan pinggirkan murid kurang pintar

BERBANDING dengan pelajar yang kurang pintar dan 'berotak beku' di negara ini, pelajar pintar dan 'berotak cair' lebih mendapat keistimewaan dari sudut pembelajaran, bermula dari pra-sekolah lagi. Terbaru pelajar pintar dan 'berotak cair' mendapat keistimewaan belajar di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Memang tidak boleh dinafikan bahawa SBT yang dimulakan dengan 20 buah sekolah dan akan terus ditambah kepada bilangan 100 buah pada tahun 2012 adalah baik dan berfaedah kepada negara. Murid yang pintar dan 'berotak cair' memang perlu dipastikan menerima pendidikan yang sempurna tanpa sebarang halangan. Mereka adalah aset negara.

Lazimnya sekolah yang baik dan melahirkan murid yang cemerlang bukan sahaja mengumpulkan murid yang cerdik tetapi mereka juga akan dididik oleh guru yang terbaik, malah pengurusan sekolahnya juga dilakukan oleh pengurusan yang cemerlang.

Di samping itu sekolah-sekolah cemerlang yang mana murid, guru-guru dan pengurusannya cemerlang akan menjadi perhatian dan akan sentiasa dipantau oleh pejabat pelajaran daerah, pejabat pelajaran negeri dan juga Kementerian Pelajaran sendiri dengan pelbagai program dibuat supaya yang cemerlang akan lebih cemerlang. Proses penerimaan pelajarnya pun melalui proses penapisan dan pemilihan yang cukup ketat dan rapi.

Tetapi murid yang kurang cemerlang dan belajar pula di sekolah yang kurang cemerlang lazimnya akan diajar oleh guru yang kurang cemerlang dan pengurusan sekolahnya juga diurus oleh pengurusan yang kurang cemerlang, menjadikan mereka yang kurang cemerlang kekal dalam keadaan kurang cemerlang.

Bagi saya ia tidak adil kepada pelajar kurang cemerlang yang bukan minta dilahirkan dengan kurang cemerlang dan 'berotak beku'. Ibu bapa juga tidak pernah mendoakan agar anak yang dilahirkan kurang pintar dan 'berotak beku'. Masing-masing mengharapkan dikurniakan anak yang berkualiti dan berprestasi tinggi.

Kata orang, seperdu buluh kepada seorang yang kreatif dan mempunyai bakat dan kerajinan yang cemerlang seperti orang Jepun akan menghasilkan pelbagai barangan yang boleh dijual dengan harga yang mahal. Tetapi kepada seseorang yang tidak kreatif seperti kebanyakan orang bangsa kita ia tentulah dianggap hanya boleh dijadikan rakit atau galah untuk memasang bendera parti pada musim pilihan raya.

Demikian juga dalam dunia pendidikan, murid yang kurang pintar dan 'berotak beku' bagi guru yang kurang cemerlang akan dilihat membebankan dan dilihat umpama belakang parang, walaupun boleh diasah dan ditajamkan tetapi ia akan memakan masa yang lama dan memerlukan usaha yang lebih oleh pengasahnya. Tetapi kepada guru yang cemerlang, pasti ada usaha dan ikhtiar supaya belakang parah yang diasah cepat tajam.

Maknanya murid yang kurang cemerlang dan 'berotak beku' sepatutnya dididik oleh guru yang cemerlang dan sekolah yang kurang cemerlang perlu diuruskan oleh pengurusan yang cemerlang, bukannya menjadi tempat longgokan guru dan tenaga kerja yang patut dipeti-sejukkan.

Murid yang pintar dan cemerlang pasti lambat diajar, apa yang diajar akan cepat difahami. Kawan saya tidak pernah pun kalut menghantar anak-anaknya tuisyen atau memilih sekolah cemerlang untuk anaknya belajar, tetapi semua anaknya kini jadi peguam dan doktor kerana anak-anaknya memang sedia pintar dan berotak cair.

Bagi saya dalam memberi pendidikan, tumpuan yang lebih atau pun setidak-tidaknya tumpuan yang sama rata perlu diberikan kepada pelajar yang kurang pintar dan 'berotak beku', termasuk mendidik mereka berdasarkan minat dan kecenderungan.

Kalau dia minat bertukang rumah misalnya, maka doronglah ke arah itu, pasti dia akan menjadi tukang rumah yang cemerlang. Jangan dipaksa pelajar dengan pendidikan atau mata pelajar yang mereka tidak suka.

Demikian juga kalau orang yang tidak berminat tentang hobi memancing atau hobi-hobi yang lain, pantang disyarah mengenainya pasti dia akan berdengkur. Tetapi kalau disyarah kepada yang berminat, maka akan kecur air liurnya, malah apabila apa yang disyarahkan tidak difahami, maka akan segera dikemukakan tentang apa yang tidak difahami.

Oleh itu percayalah, kalau anak-anak dididik dan didorong berdasarkan minat dan kecenderungan mereka, soal murid kurang cemerlang tidak akan timbul kerana masing-masing akan cemerlang mengikut bidang yang diminati, tambah-tambah kalau diasuh dan dididik dalam bidang berkenaan yang pasti akan diikuti dengan penuh minat dan keseronokan.

MUHAMMAD HAFIZUDDIN RAMLI
Kota Bharu, Kelantan

Utusan Online 27.1.2010

Baca seterusnya...

Jawatan Pembantu Guru

Tiba-tiba timbul isu jawatan pembantu guru berikutan beberapa kemalangan maut yang menimpa pelajar ketika melakukan aktiviti di luar sekolah. Terbaru, enam pelajar sekolah menengah termasuk seorang guru di Pulau Pinang maut selepas bot naga yang mereka gunakan untuk latihan mendayung terbalik selepas dipukul ombak besar Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu jawatan itu diwujudkan bagi melakukan tugas pengkeranian termasuk mengisi borang dan mengiring murid sama ada untuk acara sukan atau klinik. Dengan nisbah seorang pembantu guru bagi setiap 500 murid, guru dapat bebas daripada beban tidak perlu dan menumpu kepada tugas mengajar.

Ini kerana guru dikekang dengan pelbagai kerja pengkeranian dan tugas remeh yang mengambil banyak masa mereka selain mengajar.

Masalahnya, perlukah jawatan pembantu guru di sekolah diwujudkan? Bagaimana dengan kos untuk jawatan itu, mampukah kementerian atau sekolah membiayainya kerana guru pembantu dianggap profesional? Seorang guru pembantu perlu mempunyai kemahiran memberi rawatan kecemasan, berenang atau menguruskan murid? Guru yang hanya mahu dikenali sebagai Shima, 40, berkata pembantu guru sangat diperlukan terutama menguruskan hal pengkeranian di sekolah.

Menurutnya, masyarakat mungkin menganggap tugas guru ini senang dan hanya mengajar beberapa jam sehari.

"Hakikatnya, guru bukan hanya sekadar mengajar, tapi bertanggungjawab menguruskan pelbagai hal termasuk kerja pengkeranian dan keceriaan sekolah.

"Beban kerja yang bertambah menyebabkan kami selalu pulang lewat ke rumah.

"Selain melakukan kerja di rumah termasuk melayan anak-anak dan suami, terpaksa pula memeriksa buku murid kerana tiada masa berbuat demikian di sekolah," katanya.

Katanya, jika ada guru pembantu, mereka boleh menguruskan pembayaran yuran dan membimbing pelajar dalam persatuan.

"Kadangkala, guru sendiri terpaksa mengeluarkan duit membeli kelengkapan selain mengambil masa pembelajaran bagi menyelesaikan urusan pelajar," katanya.

Dia yang 13 tahun menjadi pengajar mengakui tugas guru membeban dan mencabar kerana melakukan pelbagai tugas yang kadangkala remeh temeh.

"Jika ada sebarang acara seperti sukan, pertandingan, aktiviti kokurikulum, guru akan mengendalikannya. Kerja menceriakan sekolah, melukis mural, menanam bunga termasuklah membeli bunga juga dilakukan guru.

"Kadangkala kami hanya ada masa 20 minit berehat. Itu belum termasuk masalah yang perlu dikendalikan membabitkan ibu bapa pelajar," katanya.

Menurutnya, bagi guru yang menjadi guru kelas kepada pelajar tingkatan tiga dan lima, kerja pengurusan lebih rumit dan meletihkan.

"Bermula dari awal tahun, guru sibuk menguruskan borang yang perlu diisi untuk Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SMP).

"Ia belum disertakan dengan peperiksaan lain yang harus pelajar hadapi.

"Guru dibebani dengan pelbagai tugasan yang remeh sehingga mereka tidak boleh fokus untuk mengajar," katanya.

Justeru, Shima mengakui, pembantu guru adalah sangat diperlukan dan ia perlu disegerakan.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Dr Mohd Ali Hassan, berkata keperluan terhadap pembantu guru amat mendesak berikutan nisbah guru dan pelajar jauh berbeza.

"Kini, beban guru lebih berat kerana mereka perlu menguruskan pelbagai hal termasuk menyelia, mengurus dan mengiringi pelajar membabitkan kokurikulum," katanya.

Mohd Ali bersetuju dengan cadangan memperkenalkan pembantu guru itu, tetapi ia harus dihalusi sebelum pelaksanaannya.

"Pembantu guru diperkenalkan bagi membantu meringankan beban guru terutama berkaitan pengurusan.

"Tetapi, skop kerja, ruang kerjaya dan tangga gaji pembantu guru itu perlu ada garis panduan.

"Kita tidak mahu pembantu guru kekal di takuk itu tanpa kenaikan gaji atau pangkat," katanya.

Selain itu, katanya, pembantu guru juga perlu mendapatkan latihan dan pendedahan yang baik dan bukan hanya sekadar melakukan kerja pengurusan pelajar," katanya.

Katanya, pembantu guru bukan sekadar menjadi pengiring pelajar dalam aktiviti luar, tetapi perlu mempunyai kemahiran merawat jika berlaku kecemasan, berenang atau kebolehan mengawal pelajar dalam jumlah yang banyak.

Beliau tidak menolak kemungkinan, ibu bapa kini takut untuk membenarkan anak mereka melakukan aktiviti luar selepas beberapa kejadian yang berlaku membabitkan kehilangan nyawa.

"Harapan kita dengan adanya pembantu guru, ibu bapa lebih yakin untuk membenarkan anak mereka mengambil bahagian dalam aktiviti di luar sekolah.

"Sekolah juga perlu bertanggung jawab dan jangan lepas tangan jika mengambil bahagian dalam aktiviti luar," katanya

myMetro 25 jan 2010

Baca seterusnya...

Perlantikan Pengawas Sekolah

Isnin 25 jan 2010 - Bertempat ditapak perhimpunan SKPHT, satu majlis perlantikan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan ketua darjah telah dilangsungkan semasa perhimpunan mingguan pagi ini. Seramai kira-kira 25 orang pengawas sekolah, 25 orang pengawas PSS dan 7 orang ketua darjah telah mengangkat sumpah dihadapan guru besar , guru-guru dan murid-murid SKPHT mengaku akan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan sepenuh hati.

Ikrar jangan hanya di mulut. Laksanakan apa yang telah diikrarkan ..

Guru Besar iaitu Pn Hjh Hayati Bt Samsudin dalam ucapannya mengucapkan tahniah atas perlantikan tersebut dan berharap mereka yang telah dilantik dapat menjalankan tugas dengan penuh bertanggungjawab sebagaimana dalam lafaz ikrar yang telah dilafazkan tadi. Menurutnya lagi tugas sebagai pengawas sekolah, pengawas PSS atau ketua darjah bukanlah semudah yang disangka. Mereka perlu tabah dalam menjalankan tugas disamping tidak mengabaikan pelajaran. Mereka yang terpilih perlulah membuktikan keunggulan dalam pelajaran dan kepimpinan dan sentiasa menjadi contoh kepada murid yang lain.


Mohd Naim Najmi selaku ketua murid mengetuai bacaan ikrar

Pada sesi 2010 ini Muhd Naim Najmi B Mohd Salji telah dilantik menjadi ketua murid dan Muhd Nabil Hakim B Mohd Kamal selaku penolong ketua murid. Dalam majlis ini Mohd Naim Najmi telah mengetuai bacaan ikrar untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan.
Semoga mereka yang telah diamanahkan dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dengan bimbingan para guru. Para guru perlulah sentiasa memberikan tunjuk ajar kepada para pengawas bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

Baca seterusnya...

PIBG perlu lebih aktif kenal pasti potensi murid.

KALI pertama menghantar anak ke sekolah untuk mendaftar ke tahun satu mengingatkan saya kenangan semasa bersekolah dahulu. Yuran sekolah dan duit buku masa kini boleh dibuat belanja dapur seminggu.

Sebagai ibu bapa muda yang kali pertama merasakan pengalaman menghantar anak ke sekolah, pelbagai perkara dapat didengari apabila bercampur dengan ibu bapa yang sudah berpengalaman.

Selain kisah ekonomi yang dibualkan semasa menunggu anak di hari pertama, kebanyakan ibu bapa juga prihatin dengan masalah disiplin anak-anak muda lepasan sekolah yang disifatkan pintar tetapi nakal.

Menyalahkan pihak sekolah 100 peratus rasanya tidak patut kerana apa guna menjadi ibu bapa jika melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada orang lain. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh memainkan peranan dengan mengadakan pertemuan secara malar untuk mengatasi disiplin murid sejak dari tahun satu lagi.

Apabila melihat keletah anak-anak yang seronok di dalam kelas dan hanya seorang guru yang lemah-lembut mengajar 30 orang anak murid, kadang-kadang terasa kita sebagai ibu bapa terlalu meletakkan seluruh kepercayaan kepada guru.

Kita juga mudah menyalahkan guru apabila anak kita gagal mencapai gred yang bagus. Dalam masa yang sama, guru perlu menjaga kesemua anak murid secara adil. Ibu bapa yang hadir ada yang tersenyum dan ada yang resah melihat anak yang masih rebung cuba dilentur sebaik mungkin. Itu baru 40 minit berlalu.

Apabila ibu bapa sudah kembali bekerja, bagaimana pula cara guru itu mengajar anak kita menjadi orang dalam erti kata sebenar. Ibu bapa wajar mengambil berat disiplin anak-anak dengan selalu menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada guru-guru untuk bertanyakan tentang sahsiah diri anak-anak.

Kita sebagai ibu bapa faham guru juga ada keluarga untuk dijaga. Namun tanggungjawab sebagai guru yang bersama anak-anak kita selama hampir lapan jam sehari adalah besar kerana disiplin mereka amat perlu dibentuk sebagai bayangan masa depan mereka yang akan mewarisi kepimpinan negara. Hari ini teknologi canggih adakalanya menyebabkan anak-anak cepat menjadi pintar dan ada guru yang jauh ketinggalan sehingga setiap kerja yang diberi mampu diselesaikan sebaik mungkin.

Justeru itu, guru-guru perlu berlari seiring dengan kepantasan teknologi agar anak-anak murid lebih menghormati mereka. PIBG perlu bekerjasama erat dalam menangani anak-anak murid yang nakal tetapi pintar. Mungkin mereka boleh melompat masuk ke tahun dua atau tiga dengan satu ujian khas supaya masa mereka tidak dibazirkan dengan belajar perkara yang sama.

Ibu bapa sudah pasti mampu mengenal pasti perangai dan kemampuan anak mereka dalam pelajaran.

PIBG juga perlu aktif mengadakan pertemuan untuk mengenal potensi anak-anak ini untuk melangkau kelas supaya mereka cepat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dengan ini, kita tidak lagi membazirkan waktu membentuk pelajar-pelajar yang nakal tetapi pintar kerana bosan berada dalam suasana pembelajaran yang tidak kondusif. Kita ada anak-anak pintar yang sudah terbukti. Walau apa pun kaedah membentuk anak-anak ini, yang penting adalah perkembangan rohani mereka mestilah seiring dengan kejayaan akademik agar tidak tergelincir dari norma-norma masyarakat timur.

PIBG perlu bekerjasama dalam membentuk murid yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dan dalam masa yang sama, disiplin mereka dapat ditingkatkan sebaik mungkin agar tidak terlibat dengan masalah sosial.

Guru-guru juga perlu bermuhasabah diri jika ada anak murid yang membuatkan minda intelek mereka tercabar. Seeloknya guru mampu menambah nilai ilmu seiring dengan zaman siber. Hanya kerjasama erat antara ibu bapa dan guru dapat membentuk masa depan murid yang lebih cemerlang di masa depan.

Selain itu, pemantauan disiplin mampu menjana minda murid agar prestasi pembelajaran mereka terus meningkat. Justeru itu, PIBG perlu bersatu demi masa depan negara yang lebih baik."

Sumber Portal PPD Kerian


Baca seterusnya...

COLA ditarik balik ?

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menafikan khabar angin kononnya elaun sara hidup kakitangan awam (COLA) dan elaun perumahan akan ditarik balik oleh kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.

''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.

Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.

"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.

Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.

Utusan Malaysia Online

Baca seterusnya...

Pengguna Internet Explorer Dinasihat Berwaspada

CyberSecurity Malaysia mengingatkan pengguna Internet supaya berwaspada tentang kelemahan ketara yang terdapat pada pelayar Microsoft Internet Explorer.

Ketua pegawai eksekutifnya Husin Jazri berkata kelemahan itu membolehkan penggodam memberi arahan kepada komputer mangsa.
Keadaan ini dikenali sebagai "0-day" kerana kelemahan berkenaan terdedah apabila vendor perisian tidak mengatasinya, kata Husin dalam satu kenyataan.

"Kelemahan ini boleh diambil kesempatan dengan mudah apabila pengguna melawat laman web penggodam.

Penggodam boleh mengirim URL (alamat laman web Internet) kepada pengguna melalui e-mel bagi mengumpan mereka melawat laman yang mengandungi program jahat, atau meletakkan URL berkenaan pada laman web dan forum popular," katanya.

Husin berkata kelemahan itu juga boleh diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menyalurkan ancaman terhadap komputer seperti trojan atau virus lain.

Kata beliau kelemahan yang terdapat pada aplikasi popular seperti pelayar Internet atau pembaca PDF (format dokumen mudah alih) yang boleh menjejaskan sistem, bukan perkara baru.

Tahun lepas, Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), CyberSecurity Malaysia mengeluarkan 36 nasihat berkaitan aplikasi popular seperti Adobe Flash, Internet Explorer, Firefox, Shockwave dan Microsoft Office, kata beliau.

Husin berkata daripada jumlah itu, sembilan mempunyai kaitan secara langsung dengan aplikasi pelayar Internet, manakala 21 lagi berkaitan pemalam pelayar (browser plug-ins), katanya.

"Walaupun orang mungkin mengemaskinikan sistem pengendalian mereka dari semasa ke semasa, tetapi ramai yang lupa untuk mengemaskinikan aplikasi yang mereka gunakan setiap hari.

"Ini boleh menyebabkan bercambahnya perisian jahat, yang dengan mudah akan menjangkiti sesebuah komputer melalui aplikasi yang terdedah kepada serangan," katanya.

Husin berkata nasihat terkini tentang perkara itu boleh didapati dengan melayari http://www.mycert.org.my

Maklumat lanjut tentang CyberSecurity Malaysia boleh didapati dengan mengunjungi laman web www.cybersecurity.my

-- BERNAMA

Baca seterusnya...

Alasan pindah jejaskan komitmen guru


SERAMAI 23 guru Bahasa Inggeris di seluruh Perak menghadapi tekanan kerana mendapat arahan pertukaran serta-merta tanpa memikirkan kebajikan mereka.

Guru berkenaan ditukarkan tanpa mengira jarak perjalanan membabitkan kos agak membebankan, contohnya melebihi 40 kilometer (KM) dan memakan masa melebihi sejam untuk sampai ke sekolah.

Pertukaran ini juga tidak menitikberatkan faktor usia, kehidupan berkeluarga dan masalah guru terbabit. Rayuan dibuat kepada Jabatan Pelajaran Perak tetapi ditolak.

Apa yang mengecewakan ialah jawapan diberikan iaitu guru perlu memilih antara kerjaya atau keluarga dalam perkara ini; pada satu masa tidak boleh memiliki dua perkara (kerjaya dan keluarga), dan tidak mempedulikan masalah yang sudah diluahkan.

Jika sayangkan suami dan anak, guru diarah letak jawatan. Apa yang menjadi ketidakpuasan ialah semua guru yang ditukarkan mempunyai komitmen tersendiri di sekolah lama dan tempat tinggal iaitu sudah membeli rumah, persekolahan anak, pekerjaan suami/isteri, keadaan kewangan dan kesihatan.

Tempat guru berkenaan digantikan dengan guru yang sama opsyen. Malah, ada guru baru yang masih belum mempunyai tanggungjawab berkeluarga ditempatkan di bandar.

Mengapa mereka diberi keistimewaan ini sedangkan sudah termaktub dalam pekeliling bahawa guru baru perlu ditempatkan di pedalaman?

Kebanyakan guru yang ditempatkan di bandar ialah isteri, suami, anak serta saudara-mara orang Jabatan Pelajaran. Mereka mengetepikan hak guru lain yang lebih memerlukan. Taburan penempatan guru di Perak amat mendukacitakan. Tiada langsung tindakan untuk memperbetulkan keadaan.

Ada guru yang sangat selesa, boleh berjalan kaki ke sekolah lebih kurang lima minit dari rumah. Ada guru yang amat tertekan. Sekolah di luar daerah, menempuh perjalanan melebihi sejam dan duit minyak melebihi RM25 sehari. Di manakah keadilan? Bagaimanakah diri ikhlas berkhidmat jika tidak selesa atau keselamatan terancam di jalan raya?

Guru perempuan pula tidak dapat menguruskan suami dan anak dengan baik sehingga berlaku keretakan rumah tangga. Tiada langsung rasa simpati untuk guru yang menghadapi masalah.

Bukan mahu ingkar arahan tetapi pihak berkenaan perlu rasional dalam membuat tindakan.

Guru masih berpegang teguh pada aku janji, namun jika kebajikan sendiri terabai bagaimana mahu menyampaikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Jangan mempertikaikan jika ada guru yang hanya jasad wujud di sekolah, tetapi hati hilang entah ke mana.

Jangan mempertikaikan juga jika ada guru yang membatu tidak mengajar, tidak mengikut arahan, tidak memberikan komitmen, ponteng, perlu di kaunseling dan pelbagai lagi kerenah lain. Ini semua kerana kerenah birokrasi.

GURU TERANIAYA,
Perak.

Berita Harian Online: 19 Januari 2010

Baca seterusnya...

Sekolah, Guru Perlu Bijaksana Tentukan Keselamatan Pelajar


PULAU PINANG, 19 Jan - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihak sekolah dan guru perlu menggunakan kebijaksanaan mereka bagi memastikan keselamatan pelajar ketika menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Pelajaran tidak dapat memantau semua aktiviti ko-kurikulum di sekolah memandangkan setiap sekolah menjalankan aktiviti berbeza.

"Kita ada kira-kira 10,000 sekolah dan agak sukar untuk kita pantau.

"Kita sudah ada garis panduan dan dalam keadaan tertentu pihak sekolah perlu tahu bagaimana untuk memastikan keselamatan pelajar," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa perahu naga terbalik di Tempat Penyimpanan Mayat, Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata semua pihak perlu menjadikan tragedi itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan dengan keluarga mangsa selama kira-kira sejam itu, mereka meminta supaya pihak sekolah membantu memastikan keselamatan pelajar ketika melaksanakan aktiviti ko-kurikulum.

Ketika lawatan itu, Muhyiddin juga menyampaikan saguhati kepada keluarga mangsa terlibat.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi Ahad lepas, enam orang termasuk seorang guru Sekolah Tinggi Chung Ling maut apabila perahu naga mereka terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang.

Mereka yang lemas adalah Yong Xiang, 16, Cheah Zi Jun, 17, Jason Ch'ng, 17, Goh Yi Zhang, 15, dan Bradon Yeoh, 17, serta guru sekolah Chin Aik Sang, 28, yang juga penasihat pasukan.

-- BERNAMA

Baca seterusnya...

Maal Hijrah


Walaupun telah berada pada penghujung muharram namun sambutan maal hijrah masih sempat disambut di SKPHT. Pagi jumaat 15 jan 2010 telah diadakan satu ceramah maal hijrah anjuran panitia Pendidikan Islam SKPHT. Majlis bermula jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 9.30 pagi. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Hasbollah B Yusop dari SK Sungai Megat Aris, Tanjung Piandang , Perak.

Walaupun majlis agak ringkas iaitu hanya dengan slot ceramah, tetapi telah berjaya menarik minat dan perhatian murid dan guru. Penceramah telah berjaya menyampaikan ceramah selama satu jam dan murid-murid dapat memberikan tumpuan terhadap ceramah yang disampaikan tanpa jemu.

Baca seterusnya...

Dah mula sibuk


Sukan tahunan dijadualkan akan dilaksanakan pada 11 Feb 2010 iaitu hari khamis jam 2.00 petang. Kini suasana mula sibuk dengan latihan sukan yang tidak berapa hari lagi akan menjelang. Jadual latihan telah ditetapkan pada hari rabu iaitu untuk rumah biru dan merah manakala pada hari khamis untuk rumah kuning dan hijau. Latihan bemula jam 3.30 hingga 5.30 petang. Hanya ada empat kali latihan sahaja yang sempat diadakan.

Pada hari-hari yang lain sibuk dengan latihan permainan Sepak Takraw, Bola Sepak dan Bola Jaring. Awal tahun biasanya akan sibuk dengan sukan tahunan, pertandingan permainan peringkat zon serta MTQ (Majlis Tilawah Al-Quran).

Tahun ini saya diamanahkan untuk bersama dengan rumah kuning. Petang khamis 14 Jan 2010 tadi cuaca amat baik untuk latihan. Semua murid rumah kuning dan hijau telah turun ke padang untuk pemilihan dan latihan. Nampaknya tidak ada seorangpun yang ponteng. Bersemangat betul murid-murid jika bersukan begitu juga dengan para guru.

Baca seterusnya...

Pengisian Jawatan Guru Cemerlang Tahun 2010

KUALA LUMPUR, 11 Jan - Pegawai perkhidmatan pelajaran lepasan diploma dan siswazah yang mengajar di sekolah, institusi pendidikan guru, Institusi Aminudin Baki dan kolej matrikulasi dipelawa untuk memohon jawatan Guru Cemerlang 2010.

Borang permohonan boleh diperolehi antaranya daripada institusi pendidikan, pejabat pelajaran daerah, jabatan pelajaran negeri dan laman web Kementerian Pelajaran Malaysia (http://www.moe.gov.my)

Tarikh tutup permohonan bagi calon dari Kelantan, Kedah dan Terengganu adalah pada 21 Jan dan bagi negeri-negeri lain ialah 22 Jan.

Baca seterusnya...

Tingkat Keselamatan Sekolah Masing-masing

TAIPING, 11 Jan - Kementerian Pelajaran telah mengarahkan semua pengetua dan guru besar supaya meningkatkan langkah keselamatan di sekolah masing-masing berikutan kejadian melontar bom petrol ke atas pondok pengawal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini Ahad.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata mereka diperingatkan agar mematuhi Surat Pekeliling Iktisas Bilangan 4/2002 Perlaksanaan Program Sekolah Selamat sebagai garis panduan dalam menangani perkara yang berkaitan dengan keselamatan sekolah dan murid-murid.

"Arahan juga diberi kepada pihak pengawal keselamatan sekolah supaya mengambil tindakan kawalan yang lebih di kawasan masing-masing. Mereka hendaklah menghubungi polis dengan segera sekiranya didapati ada apa-apa yang mencurigakan," katanya kepada pemberita selepas melawat SMK Convent tersebut Isnin.

Beliau berkata keselamatan di SMK Convent serta sekolah lain di seluruh negara adalah selamat serta terjamin dan para pelajar, ibu bapa serta guru tidak perlu bimbang berhubung kejadian itu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula mengingatkan semua ahli politik agar tidak keterlaluan dengan memainkan isu serangan ke atas beberapa gereja sebelum ini untuk menagih simpati atau pun kepentingan politik mereka.

Beliau melawat Gereja Katolik St. Louis yang terletak bersebelahan SMK Convent Taiping itu, yang dipercayai turut menjadi sasaran serangan tersebut.

Gereja All Saints di Jalan Taming Sari di sini turut dilemparkan dengan bom petrol Ahad.

- BERNAMA

Baca seterusnya...

Sex

Seorang murid tahun 1 yang baru bersekolah bertanyakan tentang sex kepada gurunya. “Cikgu, sex itu artinya apa cikgu” Gurunya terkejut dan berfikir “inilah zaman kemajuan . Budak sekecil ini sudah tahu bertanya tentang sex”.
Akhirnya guru tadi berusaha menjelaskan dengan berbagai perumpamaan, tentang kumbang dan bunga. Setelah itu dia juga menceritakan tentang perkenalan dengan ayah dan ibu dulu hingga sekarang dan akhirnya punya anak. Mendengar semua itu murid tersebut terus menangis dan keliru. gurunya bertanya “kenapa menangis?” Murid itu menjawab “Cikgu, apa pasal panjang sangat, saya tak faham.”
Padahal muridnya hanya keliru untuk menulis pada muka hadapan buku latihannya yang tulisannya begini
Name : ___________________
Address : _______________
Sex : _______________

Baca seterusnya...

Tadika Untuk Lelaki Dewasa


TADIKA untuk lelaki dewasa? Mendengar sahaja namanya, sudah pasti pelbagai tanggapan muncul dalam fikiran.

Namun begitu, itulah penyelesaian yang ditawarkan oleh sebuah bar di Jerman kepada golongan wanita yang ingin membeli-belah dengan aman dan selesa tanpa perlu mendengar keluhan dan rungutan para suami atau teman lelaki mereka.

Noxbar, sebuah bar di pusat bandar raya Hamburg menyediakan "kindergarten" atau tadika untuk kaum lelaki dengan mengenakan bayaran hanya US$11.80 kepada seseorang pelanggan wanita yang mahu meninggalkan suami atau teman lelakinya di situ sementara dia pergi membeli-belah.

Wanita tersebut boleh membeli-belah sepuas hati di butik-butik menarik di bandar raya itu sementara pasangan lelakinya yang ditinggalkan di Noxbar akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti di kawasan bermain untuk orang dewasa.

Para suami atau pasangan lelaki di situ akan mendapat lencana nama dan disediakan hidangan makanan panas termasuk dua gelas bir, menonton siaran perlawanan bola dan menyertai permainan lain.

Dua 'jururawat' terlatih sedia menjaga dan menguruskan mereka sepanjang berada di pusat tersebut. Pihak pengurusan bar itu juga merancang untuk memperkenalkan aktiviti lumba kereta mini.

Pusat tersebut yang diberi jolokan 'Maennergarten' mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di Hamburg dan dijangka akan menjadi ikutan di seluruh Jerman atau mungkin juga seluruh dunia kerana mengutamakan keselesaan selain dapat mengurangkan tekanan kepada golongan lelaki yang terpaksa menemani dan melayan karenah pasangan semasa membeli-belah.

Manakala bagi golongan wanita pula, mereka akan lebih selesa untuk membeli-belah tanpa sebarang gangguan.

Pada minggu pertama pelancaran pusat itu, ia mendapat sambutan begitu hangat, seramai 27 wanita telah meninggalkan pasangan mereka di pusat itu pada hari Sabtu.

Mereka boleh meninggalkan pasangan mereka sehingga pukul 6 petang sebelum menjemput kaum lelaki itu pulang untuk membantu mereka mengangkat beg-beg yang sarat dengan barang-barang yang baru dibeli. Idea mewujudkan pusat penjagaan lelaki ini sebenarnya datang daripada seorang wanita yang tertekan dengan rungutan suaminya sedangkan dia mahu keluar membeli-belah dengan tenang dan aman.

mStar online

Baca seterusnya...

Ujian Kepada Murid Tahun Satu Dalam Tempoh Dua Bulan

PUTRAJAYA, 7 Jan - Kementerian Pelajaran akan mengadakan ujian dalam tempoh dua bulan ini kepada murid Tahun Satu bagi mengenal pasti tahap kemahiran mereka dalam menguasai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata melalui pendekatan 3M itu, yang akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (Linus), pihaknya dapat mengetahui tahap setiap pelajar sebelum ditempatkan di kelas masing-masing.

Beliau berkata kelas-kelas pemulihan akan diberikan kepada murid-murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M selepas siri ujian itu dilakukan.

"Kita akan mengambil inisiatif secara menyeluruh. Semua murid yang masuk Tahun Satu, kita kena pantau dalam tempoh beberapa bulan, kita akan buat ujian.

"Jika terdapat pelajar yang tidak berapa sempurna penglihatan atau pendengaran sehingga sukar untuk kuasai 3M, kita akan adakan program khusus kerana matlamat kita, selepas tiga tahun bersekolah semua murid dapat menguasai 3M," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin berkata pengenalan program Linus pada peringkat sekolah rendah akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M.

Katanya kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah pada masa ini adalah 87 peratus dan peningkatan sebanyak tiga peratus disasarkan pada tahun ini.

Beliau berkata kementerian akan menjalankan kajian penilaian ke atas sistem pendidikan negara pada tahun hadapan dengan kerjasama Petubuhan Pendidikan, Saintifik dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memastikan sistem pendidikan negara terus relevan dan berdaya saing.

Langkah itu, katanya bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan untuk menambah baik sistem pengurusan pendidikan, kurikulum, latihan perguruan, proses pengajaran dan pembelajaran serta aspek-aspek lain secara keseluruhannya.

"Kajian tersebut mungkin mengambil masa antara enam bulan hingga setahun," katanya.

Sumber BERNAMA

Baca seterusnya...

Semakan Keputusan Tawaran KPLI-SR 2010 Boleh Dibuat Esok


Calon yang memohon Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) Mode Sepenuh Masa Ambilan Januari 2010 boleh membuat semakan mengenai keputusan tawaran itu di laman web Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat http://www.moe.gov.my mulai esok.

Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran Malaysia meminta calon yang berjaya ditawarkan mengikut KPLI-SR supaya mencetak surat tawaran sementara dan membawa surat tersebut ke Institut Pendidikan Guru pada hari pendaftaran.

Menurutnya calon yang berjaya juga diminta mematuhi arahan yang diberi dengan teliti, kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan mereka tidak layak didaftar di institut pendidikan guru.

Baca seterusnya...

Kadar Penyertaan Murid Prasekolah Akan Ditingkatkan

PUTRAJAYA, 7 Jan - Kementerian Pelajaran mensasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah sebanyak lima peratus kepada 72 peratus tahun ini dengan membabitkan kanak-kanak seawal umur empat tahun, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu merupakan tumpuan Kementerian Pelajaran kepada usaha untuk mencapai sasaran awal bagi satu daripada empat sub-bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan tahun ini.

"Penyertaan kanak-kanak seawal umur empat tahun dalam sistem prasekolah diharapkan dapat membina keyakinan anak-anak dan membentuk pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dari awal lagi.

"Perluasan pendidikan prasekolah ke dalam aliran perdana pendidikan akan membolehkan negara kita menepati standard antarabangsa dalam menyediakan pendidikan bagi tempoh 12 tahun bagi setiap murid," katanya pada majlis Perutusan Tahun Baru 2010 kepada warga Kementerian Pelajaran di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Khamis.

Tiga sub-NKRA pendidikan yang lain ialah penguasaan 3M iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira akan ditingkatkan dengan pengenalan program Literasi dan Numerasi (LINUS); melahirkan Sekolah Berprestasi Tinggi; dan merangka suatu insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan kepada kepimpinan sekolah.

Menjelaskan lanjut, Muhyiddin berkata bagi mencapai sasaran lima peratus kementerian menambah bilangan kelas prasekolah kepada 315 buah kelas dengan bilangan guru prasekolah seramai 7,511 orang pada tahun ini.

"Semua prasekolah, kerajaan mahupun swasta akan menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)," katanya. Mengenai program LINUS, beliau berkata pengenalan program itu pada peringkat sekolah rendah akan membolehkan lebih tumpuan diberikan kepada murid yang lemah penguasaannya dalam kemahiran 3M.

"Pada masa ini, kadar literasi dalam kalangan murid sekolah rendah adalah 87 peratus. Sasaran bagi tahun 2010 ialah peningkatan sebanyak tiga peratus iaitu kepada 90 peratus," katanya.

Beliau berkata guru-guru terbaik akan ditempatkan untuk mengajar Tahun 1 dan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah pada nisbah seorang guru kepada 15 murid berbanding nisbah sedia ada iaitu seorang guru kepada satu sekolah.

Muhyiddin berkata kumpulan guru, yang bertindak sebagai fasilitator untuk membantu guru-guru dalam program Linus, akan diwujudkan di semua Pejabat Pelajaran Daerah.

Beliau berkata bermula tahun ini, semua pemimpin sekolah perlu menetapkan sasaran pencapaian bagi membolehkan insentif berbentuk kewangan dan bukan kewangan diberikan kepada pengetua dan guru besar yang mencapai kedudukan tertinggi atas sumbangan mereka.

Mengenai Sekolah Berprestasi Tinggi, Muhyiddin berkata sebanyak 20 buah sekolah disasarkan untuk menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi pada tahun ini bagi merealisasikan matlamat untuk menjadikan 100 buah sekolah dalam kumpulan ini pada tahun 2012.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 69 buah Sekolah Menengah Teknik distruktur semula untuk dijadikan Sekolah Menengah Vokasional dan kementerian merancang program terbaik agar sekolah aliran vokasional dan kemahiran menjadi satu daripada bidang aliran perdana dalam sistem pendidikan.

Pada majlis sama, Muhyiddin turut menerima sumbangan daripada Petronas sebanyak RM2 juta bagi Tabung Kumpulan Wang Simpanan Pelajar Miskin yang menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar sekolah yang memerlukan.

--BERNAMA

Baca seterusnya...

13,000 Pengambilan Baru Guru Bahasa Inggeris Untuk Capai NKRA

Untuk mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Kementerian Pelajaran kini dalam proses merekrut kira-kira 13,000 calon lepasan universiti dan lepasan sekolah menengah untuk dilatih sebagai guru Bahasa Inggeris di seluruh negara mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kementerian yakin akan mencapai sasaran itu dan calon yang terpilih akan dihantar ke pusat institut pendidikan guru di negara ini.

"Ini salah satu langkah untuk mengatasi masalah kekurangan guru dan pada masa yang sama untuk memastikan pelajar dapat mengakses pendidikan yang berkualiti sepertimana yang digariskan di bawah NKRA," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, Sadong Jaya di sini hari Selasa.

Beliau turut mengunjungi lapan sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Batong Sadong.

Mohd Puad berkata kementerian akan mengambil lebih ramai calon guru tempatan untuk menjalani latihan perguruan bagi mengelakkan masalah penempatan guru di kawasan pedalaman dan luar bandar.



Beliau berkata kini terdapat 6,261 guru di 443 sekolah rendah dan menengah yang dikategori sebagai sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

"Angka ini agak tinggi dan untuk menangani masalah ini, kita harus mengambil lebih ramai calon tempatan yang berminat untuk dilatih sebagai guru," katanya.

Sementara itu, Mohd Puad berkata Kementerian Pelajaran akan mempergiat usaha untuk menyediakan kemudahan pembelajaran seperti bangunan sekolah, kemudahan asas seperti bekalan air bersih dan elektrik di sekolah luar bandar dan pedalaman Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Selain itu, kementerian akan memberi perhatian segera kepada kemudahan rumah guru," katanya.

-- BERNAMA


Baca seterusnya...

JOM SOLAT

Dapatkan jadual waktu solat bagi negeri perak sekarang. Lihat pada ruang sebelah kanan tu dan pilih mana yang berkaitan, klik, print dan tampal je kat mana-mana tempat yang mudah kita lihat.

Sesungguhnya solat di awal waktu itu adalah perkara yang perlu kita utamakan.

" Selesaikan urusan anda dengan Allah, nescaya urusan anda akan diselesaikan oleh Allah"

Baca seterusnya...

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.