Sekolah, Guru Perlu Bijaksana Tentukan Keselamatan Pelajar


PULAU PINANG, 19 Jan - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihak sekolah dan guru perlu menggunakan kebijaksanaan mereka bagi memastikan keselamatan pelajar ketika menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Timbalan Perdana Menteri berkata Kementerian Pelajaran tidak dapat memantau semua aktiviti ko-kurikulum di sekolah memandangkan setiap sekolah menjalankan aktiviti berbeza.

"Kita ada kira-kira 10,000 sekolah dan agak sukar untuk kita pantau.

"Kita sudah ada garis panduan dan dalam keadaan tertentu pihak sekolah perlu tahu bagaimana untuk memastikan keselamatan pelajar," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa perahu naga terbalik di Tempat Penyimpanan Mayat, Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung di sini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata semua pihak perlu menjadikan tragedi itu sebagai satu pengajaran untuk lebih berhati-hati semasa menjalankan aktiviti ko-kurikulum.

Muhyiddin berkata dalam pertemuan dengan keluarga mangsa selama kira-kira sejam itu, mereka meminta supaya pihak sekolah membantu memastikan keselamatan pelajar ketika melaksanakan aktiviti ko-kurikulum.

Ketika lawatan itu, Muhyiddin juga menyampaikan saguhati kepada keluarga mangsa terlibat.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi Ahad lepas, enam orang termasuk seorang guru Sekolah Tinggi Chung Ling maut apabila perahu naga mereka terbalik akibat dipukul ombak sebelum berlanggar dengan sebuah tongkang.

Mereka yang lemas adalah Yong Xiang, 16, Cheah Zi Jun, 17, Jason Ch'ng, 17, Goh Yi Zhang, 15, dan Bradon Yeoh, 17, serta guru sekolah Chin Aik Sang, 28, yang juga penasihat pasukan.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.