Tadika Untuk Lelaki Dewasa


TADIKA untuk lelaki dewasa? Mendengar sahaja namanya, sudah pasti pelbagai tanggapan muncul dalam fikiran.

Namun begitu, itulah penyelesaian yang ditawarkan oleh sebuah bar di Jerman kepada golongan wanita yang ingin membeli-belah dengan aman dan selesa tanpa perlu mendengar keluhan dan rungutan para suami atau teman lelaki mereka.

Noxbar, sebuah bar di pusat bandar raya Hamburg menyediakan "kindergarten" atau tadika untuk kaum lelaki dengan mengenakan bayaran hanya US$11.80 kepada seseorang pelanggan wanita yang mahu meninggalkan suami atau teman lelakinya di situ sementara dia pergi membeli-belah.

Wanita tersebut boleh membeli-belah sepuas hati di butik-butik menarik di bandar raya itu sementara pasangan lelakinya yang ditinggalkan di Noxbar akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti di kawasan bermain untuk orang dewasa.

Para suami atau pasangan lelaki di situ akan mendapat lencana nama dan disediakan hidangan makanan panas termasuk dua gelas bir, menonton siaran perlawanan bola dan menyertai permainan lain.

Dua 'jururawat' terlatih sedia menjaga dan menguruskan mereka sepanjang berada di pusat tersebut. Pihak pengurusan bar itu juga merancang untuk memperkenalkan aktiviti lumba kereta mini.

Pusat tersebut yang diberi jolokan 'Maennergarten' mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan di Hamburg dan dijangka akan menjadi ikutan di seluruh Jerman atau mungkin juga seluruh dunia kerana mengutamakan keselesaan selain dapat mengurangkan tekanan kepada golongan lelaki yang terpaksa menemani dan melayan karenah pasangan semasa membeli-belah.

Manakala bagi golongan wanita pula, mereka akan lebih selesa untuk membeli-belah tanpa sebarang gangguan.

Pada minggu pertama pelancaran pusat itu, ia mendapat sambutan begitu hangat, seramai 27 wanita telah meninggalkan pasangan mereka di pusat itu pada hari Sabtu.

Mereka boleh meninggalkan pasangan mereka sehingga pukul 6 petang sebelum menjemput kaum lelaki itu pulang untuk membantu mereka mengangkat beg-beg yang sarat dengan barang-barang yang baru dibeli. Idea mewujudkan pusat penjagaan lelaki ini sebenarnya datang daripada seorang wanita yang tertekan dengan rungutan suaminya sedangkan dia mahu keluar membeli-belah dengan tenang dan aman.

mStar online

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.