Pengguna Internet Explorer Dinasihat Berwaspada

CyberSecurity Malaysia mengingatkan pengguna Internet supaya berwaspada tentang kelemahan ketara yang terdapat pada pelayar Microsoft Internet Explorer.

Ketua pegawai eksekutifnya Husin Jazri berkata kelemahan itu membolehkan penggodam memberi arahan kepada komputer mangsa.
Keadaan ini dikenali sebagai "0-day" kerana kelemahan berkenaan terdedah apabila vendor perisian tidak mengatasinya, kata Husin dalam satu kenyataan.

"Kelemahan ini boleh diambil kesempatan dengan mudah apabila pengguna melawat laman web penggodam.

Penggodam boleh mengirim URL (alamat laman web Internet) kepada pengguna melalui e-mel bagi mengumpan mereka melawat laman yang mengandungi program jahat, atau meletakkan URL berkenaan pada laman web dan forum popular," katanya.

Husin berkata kelemahan itu juga boleh diambil kesempatan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menyalurkan ancaman terhadap komputer seperti trojan atau virus lain.

Kata beliau kelemahan yang terdapat pada aplikasi popular seperti pelayar Internet atau pembaca PDF (format dokumen mudah alih) yang boleh menjejaskan sistem, bukan perkara baru.

Tahun lepas, Pasukan Tindakan Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), CyberSecurity Malaysia mengeluarkan 36 nasihat berkaitan aplikasi popular seperti Adobe Flash, Internet Explorer, Firefox, Shockwave dan Microsoft Office, kata beliau.

Husin berkata daripada jumlah itu, sembilan mempunyai kaitan secara langsung dengan aplikasi pelayar Internet, manakala 21 lagi berkaitan pemalam pelayar (browser plug-ins), katanya.

"Walaupun orang mungkin mengemaskinikan sistem pengendalian mereka dari semasa ke semasa, tetapi ramai yang lupa untuk mengemaskinikan aplikasi yang mereka gunakan setiap hari.

"Ini boleh menyebabkan bercambahnya perisian jahat, yang dengan mudah akan menjangkiti sesebuah komputer melalui aplikasi yang terdedah kepada serangan," katanya.

Husin berkata nasihat terkini tentang perkara itu boleh didapati dengan melayari http://www.mycert.org.my

Maklumat lanjut tentang CyberSecurity Malaysia boleh didapati dengan mengunjungi laman web www.cybersecurity.my

-- BERNAMA

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.