Mi udang Kuala Sepetang
Beberapa bulan lepas sekolah ini telah mengadakan kem motivasi untuk calon UPSR di Kuala Sepetang. Ingata saya kembali kepada peristiwa tersebut selepas membaca artikel ini.
BAGI penggemar makanan laut atau lebih khusus udang, kunjungan ke Kuala Sepetang di Changkat Jering, Taiping adalah satu nikmat besar.
Kuala Sepetang bukan saja terkenal dengan keindahan paya bakau tercantik di dunia, malah juga keenakan mi udang yang ditawarkan oleh kedai makan di sepanjang laluan dari Simpang ke Kuala Sepetang.
ngin mencuba menu mi udang yang sinonim dengan Kuala Sepetang, penulis memilih kedai makan Mi Udang Laut Segar Pak Hashim yang didirikan di bahagian depan rumahnya.
Jika di sesetengah tempat menggunakan udang dipelihara atau udang kolam sebagai sajian, tetapi kedai makan Pak Hashim menyajikan udang laut segar.
Pemiliknya, Mat Hashim Abu Hasan 56, berkata mi udang menggunakan kuah mi bandung cuma tidak dibubuh telur, sebaliknya udang sebagai bahan utama manakala kemanisan kuah adalah hasil air rebusan udang berkenaan.
Turut ditawarkan ialah menu berasaskan makanan laut seperti nasi goreng udang, nasi goreng sotong, mi goreng udang dan kuetiau goreng udang selain tom yam, nasi goreng ayam atau kuetiau ayam untuk yang alah makanan laut.
Pelanggan yang memesan mi udang boleh memilih mi udang istimewa iaitu udang kertas manakala mi udang biasa daripada udang rotan yang berkulit keras.
Lapan udang laut dibubuh untuk satu pinggan mi udang. Biarpun warna kuah kemerahan, ia tidak terlalu pedas dan boleh dicuba oleh kanak-kanak. Rasa kuah yang turut dibubuh sedikit sos tomato, diperkayakan daripada rasa manis isi udang.
Untuk nasi goreng sotong, tiga sotong bersaiz besar dipotong membentuk gelang kecil. Mi goreng udang menarik untuk dicuba kerana rasanya yang enak.
“Di mana-manapun boleh didapati udang dan mi udang, tetapi mi udang di sini lebih istimewa kerana keenakan rasa udang itu. Udang laut di Kuala Sepetang rasanya lebih enak kerana ia hidup di lumpur hitam paya bakau. Rasanya lebih enak daripada udang di kawasan berpasir, begitu juga dengan makanan laut lain seperti ketam dan ikan,” katanya.
Menurutnya, harga udang laut segar Kuala Sepetang lebih mahal sekali ganda daripada udang pelihara. Jika udang ternak berharga RM6 sekilogram, udang laut segar pula RM12 sekilogram.
Apapun, demi kepuasan pelanggan, Hashim menyajikan mi udang dengan udang laut segar kerana mahu memperkenalkan keistimewaan makanan laut Kuala Sepetang kepada orang luar.
“Hasrat saya ialah memperkenalkan Kuala Sepetang dengan masakan yang kami hidang. Dengan jumlah udang yang banyak dalam satu pinggan, barulah boleh dikatakan selak udang, nampak mi, bukan selak mi baru nampak udang,” katanya.
Menariknya, ada pelanggan seramai 40 orang dari Johor datang ke kedai makan Pak Hashim atas urusan tugas, memesan mi udang istimewa, dan dua minggu kemudian kumpulan itu datang lagi membuat pesanan menu sama kerana menggemari mi udang laut segar.
“Perniagaan itu beroperasi mulai Mac lalu dan diusahakan oleh rakan saya. Bagaimanapun apabila dia ingin mengusahakan perniagaan sendiri di tempat lain dia turut menurunkan ilmu memasak mi udang.
“Saya mengharapkan maklum balas daripada pelanggan mengenai khidmat kami. Setakat ini kami menerima maklum balas positif. Bagi menjaga kualiti rasa udang, apabila pelanggan pesan, baru kami masak menu diinginkan,” katanya.
Menurutnya, mi kuning dan kuetiau yang digunakan untuk mi udang juga diambil daripada pengusaha Islam di sini.
“Kulit udang juga tidak dibuang merata-rata. Saya membina saluran paip bertutup bagi mengelak banyak lalat yang gemarkan bau udang,” katanya.
Sumber Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan