Awas Apa Yang Dimakan, Anda Boleh Kena Diarhea

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Penulis ini menyambut satu Syawal di sebuah petempatan Felda di Triang, Pahang. Pada sebelah malamnya penulis dan beberapa anggota keluarga beliau mengalami sakit perut dan cirit-birit (diarhea).

Semasa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta keesokan harinya, beliau mendapati agak ramai pesakit yang sedang menunggu giliran berjumpa doktor.

"Ramai yang mengadu sakit perut dan cirit-birit pada sebelah malam, mungkin kerana makan banyak menyambut Aidilfitri," kata seorang jururawat di klinik itu.

Seorang pengamal perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Rajan berkata jika seseorang membuang air besar dan najisnya begitu cair, lebih tiga kali dalam sehari, berkemungkinan dia sedang mengalami diarhea.

"Diarhea jenis akut ialah masalah biasa dan lazimnya diarhea ini berlanjutan satu atau dua hari sahaja dan akan hilang tanpa apa-apa rawatan khas," kata beliau.

Dr Rajan berkata diarhea akan menyerang tidak kira umur dan biasanya seorang dewasa akan mengalami diarhea lebih kurang lima kali dalam setahun.

DIARHEA BERLANJUTAN

Cirit-birit yang berlanjutan lebih daripada dua hari mungkin tanda bagi masalah yang lebih serius dan boleh menyebabkan dehidrasi (badan terlampau kering dan kekurangan cecair), menurut seorang pegawai perubatan di sebuah hospital awam di sini.

"Diarhea boleh menyebabkan dehidrasi di mana badan manusia menjadi kekurangan cecair untuk berfungsi dengan baik. Ini memang mudarat dan bahaya terutama bagi anak kecil dan orang tua. Kalau mereka kena diarhea, rawatan perlu diberikan dengan segera untuk mengelak daripada komplikasi yang serius," kata beliau.

Kata pegawai perubatan itu, selain dari salah makan, diarhea yang akut juga boleh disebabkan jangkitan kuman, virus atau parasit manakala diarhea yang kronik biasanya mempunyai talian dengan sindrom iritasi atau penyakit radang usus.

SIMPTOM DIARHEA

Bila ada diarhea, akan ada juga kejang otot, sakit di bahagian abdomen (perut) kembung perut, rasa mual serta perlu untuk menggunakan tandas dengan segera dan berulang-kali.

"Kalau anak anda diserang diarhea, janganlah berlengah untuk mendapatkan rawatan doktor kerana memang bahaya bagi bayi atau anak kecil. Ia juga menyebabkan dehidrasi berlaku dalam jangka masa satu atau dua hari dan seorang anak kecil boleh meninggal dunia jika berlakunya dehidrasi selama beberapa hari.

"Rawatan utama bagi kanak-kanak yang diserang dehidrasi ialah dengan menggantikan cecair yang hilang dengan secepat mungkin," kata pegawai perubatan itu.

Bila berlakunya dehidrasi, badan akan hilang banyak cecair serta elektrolit dan ini menyebabkan kegagalan berfungsi dengan sempurna.

BILA PERLU JUMPA DOKTOR

Kebiasaannya diarhea tidaklah berbahaya bagi seorang dewasa tapi ia mungkin merupakan gejala bagi masalah yang lain. Seseorang yang diserang diarhea perlu dengan segera berjumpa doktor bila beliau mengalami keadaan seperti berikut:

- diarhea berlanjutan lebih daripada tiga hari

- sakit teruk di bahagian abdomen atau dubur

- suhu demam yang tinggi

- najis berdarah

RAWATAN

Bagi pegawai perubatan itu, dalam kebanyakan kes diarhea, penggantian cecair yang hilang untuk menghalang dehidrasi daripada berlaku sudah memadai untuk rawatan diarhea.

"Ubat yang bertindak menghalang cirit-birit boleh membantu, tapi tidak digalakkan bagi kes diarhea yang disebabkan jangkitan bakteria atau parasit.

"Kalau diarhea dihentikan sebelum semua bakteria dan parasit keluar dari badan, anda mungkin memerangkap kuman-kuman ini di dalam usus dan ini akan memanjangkan masalah yang berlaku. Biasanya doktor akan memberikan antibiotik. Bagi jangkitan virus, ubat akan diberikan atau dibiarkan sahaja bergantung pada jenis virus dan sama ada serius atau tidak diarhea itu".

Beliau ada nasihat untuk mereka yang diserang diarhea.

"Kalau diarhea belum reda, elakkan daripada makanan atau minuman yang berkafein, produk susu, serta juga makanan yang berminyak, mengandungi fiber yang tinggi atau yang sangat manis. Makanan ini boleh memburukkan lagi cirit-birit".

Beliau mengulangi bahawa diarhea ialah masalah biasa dan akan hilang dengan sendiri tetapi diarhea juga boleh menjadi berbahaya jika seseorang yang diserang cirit-birit mengalami dehidrasi.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.