Amalan di hari raya
Kedatangan Hari Raya disambut dan diraikan oleh umat Islam seluruh dunia, tidak terkecuali oleh umat Islam di negara ini. Apa yang menjadi tradisi umat Islam apabila menyambut Hari Raya ialah membuat bermacam-macam persiapan yang berbentuk material seperti membuat pakaian baru, juadah dan barangan rumah. Itulah yang dititikberatkan sehingga menyebabkan kesibukan apabila menjelang malam Hari Raya sehingga kita lupa perkara yang lebih afdhal dilakukan ketika meraikan malam Hari Raya itu.
Sesungguhnya Islam telah menetapkan adab-adab yang sunat dilakukan bagi kita menyambut kedatangan Hari Raya antaranya :
Pertama : Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Sesungguhnya laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Dan takbir itu ialah merupakan ibadah.
Kedua : Menurut Syeikh Qulyubi di dalam Kitab Hasyiah telah menyebutkan bahawa menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama Sembahyang Sunat Tasbih hukumnya adalah sunat.
Ketiga : Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukan mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri.
Keempat : Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.
Kelima : Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Dari Anas ia berkata : Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan berkata Murajja' bin Raja' telah diceritakan kepada Ubaidullah ia berkata : Telah menceritakan Anas dari Nabi s.a.w. : Dan Baginda memakan tamar itu dalam bilangan ganjil". (HR Bukhari)
Keenam : Menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain, sebagaimana hadis yang maksudnya : "Dari Al-Baraa' ia berkata : Aku mendengar Nabi s.a.w. berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang".
Ketujuh : Sunat doa-mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya : Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.
Begitulah indah dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari kegembiraan pun terdapat adab-adab dan garis panduan yang memimpin umatnya agar tidak terpesong dari tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai melahirkan rasa syukur terhadap Allah s.w.t. Itulah perbezaan agama Islam dengan agama-agama lain yang mengadakan sambutan hanya untuk bergembira dan bersuka ria.
Sebagaimana kelazimannya yang diamalkan oleh orang-orang kita, bagi memeriahkan suasana Hari Raya ialah ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi antara satu sama lain khususnya keluarga dan tidak dilupakan jiran tetangga dan sahabat handai, menghulurkan tangan memohon kemaafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama Islam.
Tapi apa yang perlu kita ingat ialah jangan sampai dalam kegembiraan itu kita lupa peringatan agama kita supaya perkara baik itu dijaga dan jangan dicemari oleh perkara-perkara yang tidak elok dan berdosa yang bertentangan dengan hukum syarak seperti bersalaman dengan bukan muhrim, pesta tari-menari dan menjamu dengan benda-benda haram seperti arak dan sebagainya. Orang Islam bukan demikian cara sambutannya kerana perbuatan sedemikian tidak memberi berkat tetapi sebaliknya mendatangkan bala dan laknat Allah s.w.t.
Akhirnya marilah kita sama-sama merayakan Aidil Fitri mengikut apa yang diajarkan oleh agama Islam, mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan berkat dari Allah s.w.t. pada hari tersebut.
Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Maa-idah ayat 100 yang tafsirnya : "Katakanlah wahai Muhammad : Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya".
0 ulasan:
Catat Ulasan