Beri Pilihan Kepada Sekolah Tentukan Jenis Sukan

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta Kementerian Pelajaran memberi kelonggaran kepada guru dan murid untuk memilih jenis sukan yang digemari mereka dalam menerapkan program Satu Pelajar Satu Sukan.

Presidennya Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan berkata kementerian juga perlu terlebih dahulu melatih guru khusus dalam program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) kerana kebanyakan guru Pendidikan Jasmani kini tidak terlatih secara khusus dalam bidang tersebut.

"Kebanyakan guru yang mengajar dalam bidang sukan tidak dapat menumpukan perhatian khusus kerana mereka juga merupakan guru bagi mata pelajaran lain. Maka ini merupakan kekangan kepada penumpuan sukan di sekolah," katanya.

Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata semua pelajar sekolah kini perlu bergiat dalam satu bidang sukan iaitu dalam tujuh jenis sukan dalam program SPTS bermula tahun depan.

Tujuh jenis sukan dalam program SPTS ialah bola sepak, memanah, sepak takraw, badminton, hoki, olahraga dan gimnastik.

Dr Mohamad Ali berkata bagi mengatasi kekurangan jurulatih bertauliah di sekolah, pentadir sekolah perlu membuka pintu pagar mereka kepada jurulatih luar.

"Jurulatih yang bertauliah dalam bidang sukan sepatutnya dilantik menjadi jurulatih sepenuh masa di setiap sekolah seperti yang kita lihat di negara barat.

"Sekolah juga tidak semestinya hanya fokus kepada satu jenis sukan sahaja tetapi mempraktikkan jenis sukan mengikut keupayaan sekolah tersebut," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama ke atas beberapa ibu bapa, pelajar dan bekas pelajar di beberapa negeri mengenai langkah mewajibkan setiap pelajar sekolah bergiat dalam satu sukan atau '1 Pelajar 1 Sukan' mendapat reaksi yang berbeza.

Berdasarkan tinjauan tersebut, didapati ada sekolah yang mempunyai kemudahan seperti padang atau dewan tetapi tidak membenarkan pelajarnya menggunakan kemudahan tersebut tanpa kebenaran.

Dan ada sekolah yang tidak mempunyai kemudahan tersebut.

Mohammad Aqmal Suratman, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Padang Tembak di sini berkata peralatan sukan di sekolahnya mencukupi tetapi padangnya pula kecil dan tidak selesa digunakan.

"Padang sekolah yang tak luas dan tak rata, ada lubang dan rumput panjang, jadi nak main bola sepak pun tak selesa," katanya.

Pelajar dari sekolah yang sama, Muhd Syaffiq Izwan Rosli, 15, berkata langkah mewajibkan pelajar bergiat dalam salah satu sukan teras tersebut harus melihat terlebih dahulu kemudahan yang disediakan.

"Pendidikan sukan kini hanyalah subjek Pendidikan Jasmani dan bukannya sukan teras. Bagaimana pelajar mahu terlibat dalam sukan teras tersebut jika sekolah tidak mempunyai kemudahan?" katanya.

Seorang ibu dari Johor, Misia Salikin, 54, berkata terdapat dua buah sekolah di sekitar Batu Pahat dan Air Hitam tidak lagi mempunyai padang selepas padang yang ada didirikan bangunan sekolah yang baru.

Dia yang mempunyai dua anak yang masih belajar di sebuah sekolah menengah di Batu Pahat berkata sekolah juga menghadapi kekurangan kepakaran untuk membimbing pelajar dalam sukan teras.

Misia bagaimanapun mencadangkan pelajar sepatutnya diberikan pendidikan asas dalam sukan teras di peringkat sekolah menengah bagi membolehkan mereka terlebih dahulu menumpukan perhatian kepada pelajaran.

"Bila pelajar memasuki sekolah menengah, mungkin pelajar tersebut boleh terlibat lebih aktif dengan sukan teras tersebut," katanya.

Bekas pelajar SMK Ahmad, Pekan, Pahang, Raja Nornajwatul Husna Raja Mustafa Shah, 21, berkata pihak sekolah kurang memberi galakan terhadap pelajarnya untuk bersukan menyebabkan kebanyakan pelajar di situ tidak minat bersukan.

"Pihak sekolah hanya memilih segelintir pelajar yang cenderung terhadap sukan sahaja memasuki pelbagai acara sukan yang diadakan," katanya.

Raja Norhayati Raja Daud, 36, yang anaknya Nadiah Amirah Mohd Nazir bersekolah di Sekolah Kebangsaan 2 Petaling Jaya dalam Darjah 3, berkata sekolah anaknya tidak mempunyai padang yang luas kerana penambahan bangunan sekolah menyukarkan mereka untuk melakukan aktiviti sukan.

"Sehingga kini, pihak sekolah belum membuat keputusan sama ada sukan tahunan yang wajib diadakan setiap tahun, boleh diadakan pada tahun ini berikutan keadaan padang yang sempit dan kerja pembinaan yang sedang dijalankan mungkin membahayakan pelajar," katanya.

Selain itu katanya hanya guru biasa sahaja yang mengajar Pendidikan Jasmani di sekolah.

Pada sesi Pendidikan Jasmani, pelajar lelaki hanya diajar bermain bola sepak sementara pelajar perempuan bermain bola jaring.

"Saya berpendapat pelajar sekolah rendah lebih baik memberi tumpuan kepada pelajaran sahaja kerana kebanyakan pelajar ini akan leka bersukan dan tidak menghiraukan pelajaran," kata Raja Norhayati.

Mohd Fitrie Muhamad, 17, yang bersekolah di Sekolah Menengah Tanjung Emas, Kota Bharu, Kelantan berkata pihak sekolah menggalakkan pelajarnya untuk bersukan namun peralatan sukan tidak mencukupi dan tidak diselenggara.

"Contohnya padang hoki tidak sempurna dan peralatan sukan tidak mencukupi terutama bagi peralatan sukan hoki. Kayu hoki yang rosak dan patah tidak diganti sementara padang tidak diselenggara," katanya.

Ruziah Abdul Jalal, 21, mengatakan adiknya yang bersekolah di SMK Undang Jelebu Negeri Sembilan kini hanya mementingkan akademik sahaja kerana prestasi sukan sekolah itu mula merosot sejak tiga tahun lepas berikutan ramai atlet sekolah yang telah tamat pengajian serta guru yang berpengalaman telah berpindah.

"Majoriti pelajar yang ada sekarang tidak minat bersukan dan guru sekolah pula tidak menggalakkan pelajar mereka untuk bersukan dan lebih mementingkan akademik serta keadaan padang yang tidak sempurna iaitu sebahagiannya berlopak dan berpasir," katanya.

-- BERNAMA

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.