Guru Mesti Ajar Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris Tahun Ini

PUTRAJAYA, 19 Ogos -- Guru-guru yang didapati mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya sebelum dasar pembelajaran dan pengajaran kedua-dua mata pelajaran itu dilaksanakan dalam dwi-bahasa (Bahasa Malaysia dan Inggeris) tahun depan, boleh dikenakan tindakan.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata buat masa ini semua guru kedua-dua mata pelajaran berkenaan perlu mengajar dalam Bahasa Inggeris memandangkan semua peralatan mengajar seperti buku teks dan perisian komputer masih dalam bahasa Inggeris.

"Guru Besar dan Pengetua sekolah dipertanggungjawabkan untuk memantau keadaan ini dan surat amaran perlu dikeluarkan kepada guru yang didapati berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai rungutan segelintir ibu bapa yang mendapati bahawa ada guru-guru sudah mula mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Malausia sepenuhnya.

Bagaimanapun Alimuddin berkata penyediaan kertas peperiksaan peringkat sekolah seperti ujian, peperiksaan pertengahan dan akhir tahun boleh disediakan dalam Bahasa Inggeris atau dwi-bahasa.

Beliau seterusnya meminta supaya ibu bapa agar tidak bimbang kerana peperiksaan dwi-bahasa bagi Sains dan Matematik akan diteruskan sehingga tahun 2016.

Sementara itu Alimuddin berkata guru yang mengajar pada waktu pertama setiap hari persekolahan perlu memeriksa keadaan semua pelajar dan sekiranya didapati ada yang kurang sihat, ia perlu segera memaklumkan kepada pihak pengurusan sekolah.

"Ini untuk memudahkan pihak sekolah mengambil tindakan segera dan sewajarnya dalam usaha mengawal penularan wabak influnenza A H1N1 di sekolah," katanya.

Sehingga kini kementerian sudah memperuntukkan RM2.6 bilion bagi menyediakan alat pengesan suhu badan dan topeng mulut untuk diedarkan ke semua sekolah.

Mengenai penutupan sekolah pula Alimuddin berkata setakat ini jumlah sekolah yang ditutup sejak penularan wabak itu ialah 100 buah dan buat masa ini tiada sekolah sama yang ditutup dua kali.

Sumber Bernama

0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.