Kata Hubung

Kata hubung ialah jenis kata yang menghubungkan ayat dengan ayat, bahagian ayat dengan bahagian ayat, dan kata dengan kata. Dalam contoh (1) “Abang sedang membasuh motosikal dan kakak sedang menyiram pokok bunga”, kata hubungnya ialah dan. Kata hubung dan menghubungkan ayat “Abang sedang membasuh motosikal” dengan ayat “Kakak sedang menyiram pokok bunga”. Dalam contoh ini, kata hubung dan menggabungkan ayat dengan ayat.


Dalam contoh (2) “Penyanyi itu bernyanyi sambil menggoyangkan badan”, kata hubung sambil yang menghubungkan ayat “Penyanyi itu bernyanyi” dengan sebahagian ayat yang kedua yang sudah digugurkan, iaitu bahagian yang sama dengan bahagian ayat pertama, dan menghubungkan bahagian ayat kedua “menggoyangkan badan”.


Dalam contoh (3) “Saya membeli baju dan seluar”, kata hubungnya ialah dan, yang menghubungkan dua patah kata benda, iaitu baju dan seluar.

Dalam bahasa Melayu terdapat pelbagai jenis kata hubung. Kata hubung itu ialah kata hubung gabungan, iaitu kata hubung yang menghubungkan ayat-ayat majmuk gabungan setara, dan ayat-ayat majmuk gabungan tak setara. Misalnya:


4. Musa serta Ghani pegawai tadbir di Jabatan Perdana Menteri.

(serta ialah kata hubung ayat majmuk gabungan setara)


5. Kakak ke perpustakaan tetapi abang ke makmal sains.

(tetapi ialah kata hubung ayat majmuk gabungan tak setara)

Selain kata hubung gabungan, terdapat pula kata hubung pancangan, iaitu kata-kata yang menghubungkan ayat-ayat majmuk pancangan, yakni ayat majmuk relatif, ayat majmuk komplemen, dan ayat majmuk keterangan.

Kata hubung pancangan pula ada tiga jenis, iaitu kata hubung relatif; yang menghubungkan ayat induk dengan ayat kecil relatif. Dalam bahasa Melayu terdapat satu kata hubung relatif, iaitu yang. Misalnya yang dalam ayat (6)


“Ayah membeli kereta baharu yang berwarna merah”. Ayat majmuk relatif ini terdiri daripada ayat induk “Ayah membeli kereta baharu”, dan ayat kecil “Kereta baharu berwarna merah”.

Kata hubung komplemen pula ialah kata hubung yang menghubungkan ayat induk dengan ayat komplemen. Kata yang lazim berfungsi sebagai kata hubung komplemen ialah bahawa dan untuk. Perhatikan ayat contoh yang berikut ini:


7. Guru disiplin melaporkan bahawa masalah disiplin pelajar dapat dikawal.


8. Sungguh mustahil untuk awak mempengaruhinya.

Akhir sekali ialah kata hubung keterangan. Jumlah kata hubung jenis ini dalam bahasa Melayu amat besar. Kata hubung keterangan mengaitkan ayat inti dengan ayat keterangan. Antara contoh kata hubung keterangan termasuklah kerana, agar, sekiranya, hingga, ketika, waktu, jikalau, tatkala, meskipun, sungguhpun, dan lain-lain. Contoh penggunaan kata hubung tersebut adalah seperti yang berikut:


9. Mereka berjaya dalam peperiksaan kerana mereka rajin berusaha.


10. Jikalau bukan puan, siapa lagi yang mengarang bunga ini?


11. Sungguhpun Pak Mat sudah tua, beliau tetap mahu menyertai pertandingan itu.


12. Semua makmum berdoa agar Allah lanjutkan usia baginda.


Kata hubung kerana, jikalau, sungguhpun, dan agar berfungsi mengaitkan unsur-unsur bahasa, sama ada antara ayat dengan ayat, atau antara bahagian ayat dengan bahagian ayat menjadikan ayat itu berkait antara satu sama lain.

Jelaslah kata hubung ini berfungsi sebagai unsur tautan dan kohesi dalam bahasa, iaitu yang mewujudkan kesinambungan ayat. Unsur tautan ini sungguh penting kerana dalam wacana yang lebih besar, kata hubung menjadi salah satu unsur yang menjalin pelbagai buah fikiran yang ingin disampaikan.


Begitulah perbincangan tentang fungsi kata hubung, yakni salah satu jenis kata tugas bahasa Melayu dalam wacana bahasa.


Sumber



0 ulasan:

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.