Info Tayar

Sebenarnya, setiap tayar mempunyai maklumat yang terperinci berhubung jenis, saiz dan keumpamaan, termasuk minggu dan tahun keluaran. sesiapa saja dapat memahami maklumat ini untuk membuat pilihan tayar yang tepat bagi kenderaan mereka. cara paling tepat memahaminya adalah dengan memilih satu contoh tayar dan menelitinya sedikit demi sedikit.

Di bawah ini adalah panduan untuk makna nombor yang paling penting bagi sebuah tayar. Sebagai contoh, kita akan teliti nombor berikut: 175/70R13 82H. Nombor 175 yang pertama dalam siri merujuk kepada lebar itu dalam milimeter, iaitu jarak diukur dari sisi ke sisi. biasanya jika lebih besar nilai angka ini lebih lebar tayar itu. Nombor 70 menyatakan nisbah aspek (aspact ratio) tayar atau ketinggian tayar berbanding dengan kelebaran tayar itu.

Dalam contoh, ketinggian tayar adalah 70% kelebaran tayar itu. Biasanya tayar dengan nisbah aspek 55 kebawah diklasifikasi sebagai tayar profil rendah. Tayar profil rendah memberi prestasi pengendalian keseluruhan yang lebih bagus walaupun aspek keselesaan mungkin boleh terjejas sedikit.

Huruf "R" merujuk kepada binaan tayar radial dan kesemua tayar kereta menggunakan binaan radial sejak 20 tahun lalu. Tayar binaan radial tidak mempunyai tiub dan memberi prestasi lebih bagus. Angka 13 merujuk kepada garis pusat (diameter) rim untuk membolehkan tayar dimuatkan. Jika ingin menukar kepada tayar dengan diameter lebih besar, anda juga perlu menukar rim kepada diameter sama.

Nombor 82 melambangkan indek keupayaan mengangkut berat tayar itu. Untuk mengetahui berat maksima melambangkan nombor "82" kami perlu merujuk kepada carta "index keupayaan mengangkut tayar berat" yang ditetapkan diperingkat antarabangsa. sebagai contoh, nombor 82 bermakna tayar mampu memikul berat maksima 475 kilogram. Berat maksima meujuk kepada setiap tayar, kita perlu darabkan 4 kali untuk memperolehi kapasiti memikul berat kenderaan dengan empat tayar. (contoh: 475 x 4 = 1900 kg)

Huruf "H" yang terakhir adalah menyatakan kelajuan maksima bagi sesebuah tayar yang direka. Taraf kelajuan H dalam contoh bermakna bahawa tayar ini boleh mencapai dan mengekalkan kelajuan sejauh 210 km/j. Dibawah adalah senarai carta kelajuan maksimum seperti yang dilambang oleh setiap huruf abjad.

S-180 km/j
T-190 km/j
U- 200 km/j
H-210 km/j
V-240 km/j
Z-melebihi hadlaju 240 km/j
W-270 km/j
Y-300 km/j
Untuk tayar yang mempunyai keupayaan mengatasi kelajuan 270 km/j, huruf ZR akan digunakan.

Sumber Metro

Baca seterusnya...

Majlis perpisan Tahun 6 / 2009

Jumaat 30 Okt 2009 - Tepat jam 11.00 pagi bertempat di dewan kantin SKPHT telah diadakan majlis jamuan perpisahan murid tahun 6 - 2009. Majlis tersebut anjuran murid-murid tahun 6 yang terdiri dari 2 buah kelas iaitu kelas 6 Gemilang dan 6 Cemerlang dibawah pengawasan guru kelas iaitu En Mohd Nasir B Hj Samsuri (6G) dan Pn Norhida Bt Md Saad (6C). Semua guru dan staf sokongan dijemput ke majlis terebut.
Majlis yang ringkas tersebut dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis iaitu adik Syahira Bt Shahrim diikuti dengan ucapan wakil murid tahun 6, ucapan guru kelas 6G, guru kelas 6C dan diakhiri dengan ucapan guru besar Pn Hjh Hayati Bt Samsudin.

Dalam ucapannya guru besar mengajak murid-murid tahun 6 agar mengenang kembali detik-detik persekolahan mereka selama 6 tahun di sekolah ini sehinggalah ke saat majlis ini.Pengalaman yang telah dialami merupakan satu peristiwa yang tidak mungkin dapat dilalui kembali. Hargailah segala jasa dan sumbanagan guru dan sekolah kepada murid semua. Jika ada rezeki apabila sudah bekerja berilah sumbangan kepada sekolah yang begitu banyak berjasa kepada anda semua.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa dan jamuan makan tengah hari. Terima kasih kepada En Che Sahar dari syarikat Zaibina yang menyumbangkan jamuan tersebut.

Baca seterusnya...

Guru tuntut imbuhan

Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain.

Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

``Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama,’’ katanya.

Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar.

Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.

``Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar,’’ katanya.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.

``Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’’ katanya.

Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.

Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut.

Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.

Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius.

Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua.

Sumber Portal Pendidikan Utusan

Baca seterusnya...

Sekolah Satu Aliran Bantu Capai Matlamat Perpaduan

KUALA LUMPUR, 28 Okt- Kerajaan disaran agar menyusun semula sistem pendidikan negara termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan perpaduan antara kaum dapat dicapai.

Hamim Samuri (BN-Ledang) berkata sistem persekolahan pelbagai aliran pada masa sekarang tidak membantu rakyat memahami erti perpaduan atau makna sebenar konsep 1Malaysia yang diwar-warkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sistem yang ada sekarang perlu dipinda dan semua sekolah menengah disusun supaya mempunyai satu aliran sahaja bagi memastikan semua kaum berada di bawah satu bumbung perpaduan.

"Pada peringkat sekolah rendah, sekolah beraliran boleh dikekalkan tapi disatukan di sekolah menengah. Kerajaan boleh mengambil alih sekolah beraliran bagi mendapat pembelaan sewajarnya," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di sini pada Rabu.

Datuk Ab Halim Ab Rahman (PAS-Pengkalan Chepa) yang menyokong hujah Hamim berkata kajian menunjukkan sistem pendidikan sekarang tidak mempunyai matlamat akhir iaitu membawa kesejahteraan kepada rakyat.

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata beliau setuju semua sekolah aliran disatukan pada sekolah menengah supaya matlamat perpaduan dicapai.

Pendapat untuk mengadakan sekolah satu aliran pernah disuarakan tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

-- BERNAMA

Baca seterusnya...

Mi udang Kuala Sepetang

Beberapa bulan lepas sekolah ini telah mengadakan kem motivasi untuk calon UPSR di Kuala Sepetang. Ingata saya kembali kepada peristiwa tersebut selepas membaca artikel ini.

BAGI penggemar makanan laut atau lebih khusus udang, kunjungan ke Kuala Sepetang di Changkat Jering, Taiping adalah satu nikmat besar.

Kuala Sepetang bukan saja terkenal dengan keindahan paya bakau tercantik di dunia, malah juga keenakan mi udang yang ditawarkan oleh kedai makan di sepanjang laluan dari Simpang ke Kuala Sepetang.
ngin mencuba menu mi udang yang sinonim dengan Kuala Sepetang, penulis memilih kedai makan Mi Udang Laut Segar Pak Hashim yang didirikan di bahagian depan rumahnya.

Jika di sesetengah tempat menggunakan udang dipelihara atau udang kolam sebagai sajian, tetapi kedai makan Pak Hashim menyajikan udang laut segar.
Pemiliknya, Mat Hashim Abu Hasan 56, berkata mi udang menggunakan kuah mi bandung cuma tidak dibubuh telur, sebaliknya udang sebagai bahan utama manakala kemanisan kuah adalah hasil air rebusan udang berkenaan.

Turut ditawarkan ialah menu berasaskan makanan laut seperti nasi goreng udang, nasi goreng sotong, mi goreng udang dan kuetiau goreng udang selain tom yam, nasi goreng ayam atau kuetiau ayam untuk yang alah makanan laut.

Pelanggan yang memesan mi udang boleh memilih mi udang istimewa iaitu udang kertas manakala mi udang biasa daripada udang rotan yang berkulit keras.

Lapan udang laut dibubuh untuk satu pinggan mi udang. Biarpun warna kuah kemerahan, ia tidak terlalu pedas dan boleh dicuba oleh kanak-kanak. Rasa kuah yang turut dibubuh sedikit sos tomato, diperkayakan daripada rasa manis isi udang.

Untuk nasi goreng sotong, tiga sotong bersaiz besar dipotong membentuk gelang kecil. Mi goreng udang menarik untuk dicuba kerana rasanya yang enak.

“Di mana-manapun boleh didapati udang dan mi udang, tetapi mi udang di sini lebih istimewa kerana keenakan rasa udang itu. Udang laut di Kuala Sepetang rasanya lebih enak kerana ia hidup di lumpur hitam paya bakau. Rasanya lebih enak daripada udang di kawasan berpasir, begitu juga dengan makanan laut lain seperti ketam dan ikan,” katanya.

Menurutnya, harga udang laut segar Kuala Sepetang lebih mahal sekali ganda daripada udang pelihara. Jika udang ternak berharga RM6 sekilogram, udang laut segar pula RM12 sekilogram.

Apapun, demi kepuasan pelanggan, Hashim menyajikan mi udang dengan udang laut segar kerana mahu memperkenalkan keistimewaan makanan laut Kuala Sepetang kepada orang luar.

“Hasrat saya ialah memperkenalkan Kuala Sepetang dengan masakan yang kami hidang. Dengan jumlah udang yang banyak dalam satu pinggan, barulah boleh dikatakan selak udang, nampak mi, bukan selak mi baru nampak udang,” katanya.

Menariknya, ada pelanggan seramai 40 orang dari Johor datang ke kedai makan Pak Hashim atas urusan tugas, memesan mi udang istimewa, dan dua minggu kemudian kumpulan itu datang lagi membuat pesanan menu sama kerana menggemari mi udang laut segar.

“Perniagaan itu beroperasi mulai Mac lalu dan diusahakan oleh rakan saya. Bagaimanapun apabila dia ingin mengusahakan perniagaan sendiri di tempat lain dia turut menurunkan ilmu memasak mi udang.

“Saya mengharapkan maklum balas daripada pelanggan mengenai khidmat kami. Setakat ini kami menerima maklum balas positif. Bagi menjaga kualiti rasa udang, apabila pelanggan pesan, baru kami masak menu diinginkan,” katanya.

Menurutnya, mi kuning dan kuetiau yang digunakan untuk mi udang juga diambil daripada pengusaha Islam di sini.

“Kulit udang juga tidak dibuang merata-rata. Saya membina saluran paip bertutup bagi mengelak banyak lalat yang gemarkan bau udang,” katanya.

Sumber Metro

Baca seterusnya...

Peperiksaan Akhir Tahun


Selasa 27 Okt 2009, Hari ini bermulanya peperiksaan akhir tahun atau lebih dikenali dengan nama PKSR 2. Semua murid dari Tahun 1 hingga Tahun 5 memulakan peperiksaan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu kertas 1. PKSR ini tidak melibatkan murid Tahun 6 kerana mereka baharu sahaja selesai menjalani UPSR kecuali beberapa mata pelajaran yang perlu diambil seperti Kajian Tempatan dan Sivik. Mereka juga baru selesai menjalani peperiksaan sijil pendidikan Islam Tahun 6 dimana soalannya adalah dari JPN Perak.

Harapan ayah bonda

Soalan Peperiksaan Akhir Tahun atau PKSR 2 ini adalah diselaras diperingkat daerah kerian dimana soalannya dikeluarkan oleh majlis guru besar kerian. Semoga semua pelajar dapat meningkatkan pencapaian dan berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan ini.

Kelas Tahun 1

Murid-murid dari kelas Tahun 1

Macam mana nak buat ni ... ?

Tekun menjawab soalan

Baca seterusnya...

Semak Keputusan PTK


Tuan puan boleh memyemak keputusan PTK yang telah keluar dengan klik pada gambar di atas atau melalui SMS dengan menaip PTK No. K/P dan hantar ke 36363 .
Tahniah kepada yang berjaya dapat A .Cuba lagi dan jangan putus asa kepada yang dapat B, C atau D. Cuba sampai dapat keputusan keseluruhan iv.

Baca seterusnya...

Bersama warga SK Teluk Medan

PKG Teluk Medan 24 Oktober, Seramai hampir 40 orang warga pendidik SK Teluk Medan telah mengikuti Kursus Pembinaan Laman Blog Mata Pelajaran. Kursus tersebut bertujuan untuk mendedahkan kepada warga pendidik SKTM tentang kelebihan laman blog dan cara menghasilkannya. Saya telah dijemput sebagai penceramah dan fasilitator kepada kursus tersebut. Pada akhir kursus para peserta amat berpuas hati dengan hasilan yang diperolehi. Mereka berharap kursus seumpama ini akan disambung lagi pada masa akan datang bagi menambah ilmu dan kecekapan mereka dalam membina laman blog. Kini hampir seluruh warga pendidik SKTM telah mempunyai laman blog masing-masing. Tahniah warga pendidik SKTM.

Baca seterusnya...

Pelajar Sekolah Gempar Lihat 35 Sejadah Berdiri Di Surau

PASIR MAS, 20 Okt (Bernama) -- Warga Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di sini, gempar apabila 35 helai sejadah di dalam surau didakwa berdiri secara misteri dengan sebahagiannya menyerupai individu sedang menunaikan solat.

Kejadian itu disedari seorang murid yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya, Adnan Abdullah, 37, ketika sesi pembelajaran dijalankan berhampiran surau berkenaan.

"Kejadian berlaku pukul 10.40 pagi, ketika saya menjalankan sesi pembelajaran di luar kelas disebabkan kelas sedang diubahsuai, seorang murid yang terpandang ke arah surau memberitahu sejadah kelihatan berdiri," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. �� �Adnan berkata beliau kemudiannya membuka pintu surau dan amat terkejut melihat sebanyak 35 helai sejadah dalam keadaan berdiri iaitu 16 helai di bahagian lelaki dan 19 lagi di bahagian perempuan. �� �"Lebih aneh lagi apabila satu helai lagi berada di bahagian hadapan sekali iaitu di tempat imam dalam keadaan yang sama menunjukkan seolah-seolah sedang melakukan solat secara berjemaah," katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Menurut Adnan, beliau percaya kejadian itu membuktikan keagungan Allah yang mahu umatnya bermuhasabah diri.�� � �

"Bagaimanapun ia terpulang kepada tafsiran individu, bagi saya tak mungkin perkara ini dilakukan oleh manusia kerana tempoh semua sejadah dalam keadaan demikian lama," katanya.

�� �Beliau berkata pada bulan Ramadhan yang lepas perkara yang sama turut berlaku di rumah penduduk kampung berkenaan apabila sehelai sejadahnya turut berdiri sendiri. �� �

Manakala bagi Pembantu Penguasa pejabat Agama Pasir Mas, Kamarudin Zakaria� yang ditemui di situ berkata beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menggemparkan penduduk setempat. �

� �"Ia terpulang kepada tafsiran setiap individu untuk menganggap ia perkara ajaib atau sebagainya, tetapi bagi saya perkara-perkara sebegini boleh memesongkan akidah seseorang," katanya. �� �

Kamarudin berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada Jabatan Agama dan jika sejadah masih dalam keadaan demikian sehingga esok, pihaknya akan mengambil tindakan yang perlu. �� �Sementara itu, kawasan sekolah berkenaan sesak dengan orang ramai yang ingin melihat kejadian itu dari dekat.

-- BERNAMA

Baca seterusnya...

Kejohanan Bola Baling Gemilang MSSD Kerian

Parit Buntar, Isnin 19 Okt 2009. Satu kejohanan Bola Baling bawah 11 tahun yang dinamakan Kejohanan Bola Baling Gemilang MSSD Kerian telah berlagsung di SK Baru Parit Buntar. Kejohanan ini disertai oleh 16 pasukan lelaki dan 16 pasukan perempuan. Kesemua pasukan yang menyertai kejohanan ini merupakan johan dan naib johan kelompok yang telah berlangsung awal tahun 2009 yang lalu.

Pasukan Bola Baling lelaki SK Parit Haji Taib yang merupakan naib johan kelompok 2 tahun 2009 turut menyertai kejohanan ini. Pasukan ini adalah dibawah bimbingan En Farizal B Abidin selaku juru latih manakala En Tarmizi (PK Kokurikulum ) selaku pengurus pasukan.

Pertandingan dijalankan secara liga mengikut kumpulan. Pasukan SKHT telah berjaya menang satu perlawanan dan kalah dua perlawanan lagi dalam kumpulan. Bagaimanapun ini merupakan pendedahan awal kepada mereka untuk mengharungi kejohanan bawah 12 tahun pada tahun 2010 nanti. Tahniah diucapkan kepada pengurus dan juru latih serta para pemain yang telah menunjukkan kesungguhan dalam kejohanan ini.


Baca seterusnya...

Lagi ... Keistemewaan Kerian .

SEKIRANYA anda mendapat jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan atau sebarang majlis keramaian di mana-mana tempat di Parit Buntar, Perak, pastikan anda tidak menolak jemputan itu.

Ini kerana jika ditolak pelawaan itu, anda akan menyesal kerana terlepas menikmati makanan seperti kari daging, daging masak hitam, kurma ayam atau daging dan yang paling istimewanya ialah air asam yang kesedapannya tidak terdapat di tempat lain.

Entah apa istimewanya air asam Parit Buntar kerana anda akan sentiasa teringatkan kesedapannya bila pulang ke rumah dan bila mencuba sendiri membuat air asam ia tidak akan sama seperti di sana.

Peluang yang penulis perolehi untuk ke sana sekali lagi sememangnya tidak dilepaskan begitu sahaja dan walaupun jarak tempat tinggal penulis di Kelantan namun ia tidak menjadi penghalang untuk berkunjung buat kali kedua.

MAKAN SEPUASNYA AIR ASAM DI PARIT BUNTAR

Penulis yang barubaru ini dijemput seorang pesara Jabatan Pertanian, Abdul Halim Sulaiman, 56, ke rumahnya di Parit Lebai Akhil di sini bagi menghadiri majlis cukur jambul dua cucu barunya memang diibarat seperti "orang mengantuk disorongkan bantal".

Hajat hati untuk makan sepuaspuasnya air asam yang kali pertama dirasai penulis pada akhir tahun lepas di rumah Abdul Halim yang ketika itu melangsungkan perkahwinan anak perempuannya kini memang berbaloi.

"Sedap sungguh air asam Pak Halim ni. Apa ramuannya yang sedap macam ni," kata abang penulis Zamri Ishar yang turut serta ke rumah Abdul Halim.

Sememangnya air asam merupakan menu makanan yang "wajib" ada pada sebarang majlis perkahwinan atau keramaian di Parit Buntar.

KEUNIKAN AIR ASAM

Uniknya air asam di Parit Buntar bukan dimakan bersama ikan bakar pada lazimnya tetapi air asam itu sebenarnya adalah menu bagi menggantikan sambal belacan.

"Memang di Parit Buntar tidak sah kenduri atau apa sahaja majlis kalau tidak ada air asam.

"Air asam di Parit Buntar ini istimewa kerana keenakannya tidak sama seperti di tempat lain," kata Abdul Halim memulakan perbualan mengenai air asam itu.

Pada mulanya Abdul Halim agak keberatan untuk menceritakan ramuan istimewa air asam itu kerana masih merendah diri air asam yang dibuatnya tidaklah sesedap mana tetapi apabila terus diasak penulis barulah Abdul Halim menerangkan mengenai resipi air asam Parit Buntar.

RAHSIA PADA KICAP CAIR DAN SOS TOMATO

Antara ramuan asas air asam di sini masih sama di tempat lain iaitu cili, tomato, bawang, kerisik, belacan dan air asam jawa namun sebenarnya ada ramuan khusus bagi masyarakat Parit Buntar untuk menyediakan air asam.

"Kami memasukkan sejenis kicap cair dan sos tomato yang hanya terdapat di Parit Buntar sahaja.

"Kicap cair dan sos tomatonya sangat berlainan rasanya dan tidak terdapat di luar Parit Buntar," kata Abdul Halim yang disifatkan penduduk sekitar antara pakar pembuat air asam.

Beliau berkata pernah rakannya yang tinggal di negeri lain cuba membuat air asam itu sendiri yang akhirnya mengakui ia tidak sesedap seperti di sini.

"Buat air asam ini tidak susah tetapi ramuannya kena betullah dan sebab itulah Parit Buntar terkenal dengan air asamnya," kata Abdul Halim dengan tawa.

JATUH HATI PADA AIR ASAM

Bagi seorang pensyarah Zamri Mohd Akhir, 40, dari Selangor berkata beliau sebelum ini bukanlah penggemar air asam.

"Tapi sejak kali pertama saya makan air asam pada satu kenduri di sini, saya dah jatuh hati pada air asam Parit Buntar.

"Air asam di tempat lain memang tidak sesedap di sini dan sebab itu saya sebolehbolehnya tidak akan menolak jemputan untuk ke sini," kata Zamri.

Selain air asam, resipi lain yang turut terkenal di Parit Buntar ialah kari daging serta acar limau atau buah yang semestinya ada dalam menu makanan pada setiap majlis.

"Agaknya orang Parit Buntar ni memang pandai masak," kata adik Zamri, Siti Norlida, 38 tahun.

AIR ASAM DAN ACAR BUAH SEBAGAI TARIKAN PELANCONG

Siti Norlida berkata air asam, acar buah dan kari daging itu sebenarnya sudah cukup untuk menaikkan nama Parit Buntar dan agensi pelancongan boleh mempromosikan daerah ini melalui makanan.

Antara promosinya adalah melalui penginapan inap desa yang semakin popular dan penduduk di Parit Buntar boleh memanfaatkan program itu untuk menarik pelancong ke daerah ini.

"Jika tempat lain mungkin daya tarikannya lain tetapi di Parit Buntar daya tarikannya adalah melalui makanan dan kediaman kampung yang terletak di tengah sawah," katanya.

Memang benar kata Siti Norlida itu kerana selain keistimewaan makanan, antara tarikan lainnya adalah merasai kedamaian berada di tengah sawah.

Selain itu anda akan kagum dengan sikap gotongroyong penduduk kampung untuk menyediakan makanan pada setiap majlis.

Jika di tempat lain kaedah bufet semakin mendapat tempat tetapi di Parit Buntar, penduduk kampung masih mengamalkan sikap bergotong-royong.

Mungkin inilah "trademark" Parit Buntar dan jika anda sememangnya penggemar air asam jangan segan untuk ke sana bagi menikmatinya. BERNAMA

Baca seterusnya...

Tarikan Pengunjung ke Daerah Kerian

Cuti Deepavali ni boleh lah berkunjung ke daerah Kerian. Banyak tempat menarik untuk dikunjungi. Antara tumpuan pengunjung ialah :

* Kuala Gula - tempat penghijrahan burung-burung dan memancing terdapat chalet untuk disewa.
* Jambatan dari Kuala Kurau ke Kuala Gula.
* Pantai Ban Pecah untuk memancing ikan dan makan di gerai kari sembilang .
* Restoran terapung.

Makanan :

* Kari ikan sembilang
* Tom Yam Siam
* Mee Mamak Kuala Kurau
* Seafood segar
* Ikan Bakar ( ikan segar dari Kuala Kurau).
* Kuih-Muih orang banjar . Yang paling top tentulah KALAKATAR.

Perayaan Tempatan

* Perayaan Thaipusam
* Opera Cina (Percuma)
* Sukaneka
* Sukan Air

Baca seterusnya...

SEHAT ALA RASULULLAH

Rasulullah bersabda : "Mu'min yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mu'min yang lemah ....."(HR Muslim)

Bagaimana agar senantiasa sehat seperti Rasulullah? Ikuti resepi berikut :

SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasul selalu mengajak ummatnya untuk bangun sebelum subuh, melaksanakan solat sunat dan solat Fardhu, solat subuh berjamaah. Hal ini memberi hikmah yg mendalam antara lain :
- Berlimpah pahala dari Allah
- Kesegaran udara subuh yg baik utk kesehatan/ terapi penyakit TB
- Memperkuat fikiran dan menyehatkan perasaan

AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN
Rasul selalu senantiasa rapi & bersih, tiap hari khamis atau Jumát beliau mencuci rambut2 halus di pipi, selalu memotong kuku, bersisir dan berminyak wangi. "Mandi pada hari jumaat adalah wajib bagi setiap orang2 dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman"(HR Muslim)

TIDAK PERNAH BANYAK MAKAN
Sabda Rasul : "Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan bila kami makan tidak terlalu banyak ( tidak sampai kekenyangan)"(Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada 3 ruang untuk 3 benda : Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan. Bahkan ada satu tarbiyyah khusus bagi ummat Islam dg adanya Puasa Ramadhan untuk menyeimbangkan kesehatan

GEMAR BERJALAN KAKI
Rasul selalu berjalan kaki ke Masjid, Pasar, medan jihad, mengunjungi rumah sahabat, dan sebagainya. Dengan berjalan kaki, keringat akan mengalir, paru-paru terbuka dan peredaran darah akan berjalan lancar. Ini penting untuk mencegah penyakit jantung

TIDAK PEMARAH
Nasihat Rasulullah : "Jangan Marah" diulangi sampai 3 kali. Ini menunujukkan hakikat kesehatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasadiyah belaka, tetapi lebih jauh yaitu dilandasi oleh kebersihan dan kesehatan jiwa. Ada terapi yang tepat untuk menahan marah :
- Mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka duduk, dan bila duduk maka berbaring
- Membaca Ta 'awwudz, karena marah itu dari Syaithon
- Segeralah berwudhu
- Sholat 2 Rokaat untuk meraih ketenangan dan menghilangkan kegundahan hati

OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA
Sikap optimis akan memberikan dampak psikologis yang mendalam bagi kelapangan jiwa sehingga tetap sabar, istiqomah dan bekerja keras, serta tawakal kepada Allah SWT

TAK PERNAH IRI HATI
Untuk menjaga stabilitas hati & kesehatan jiwa, mentalitas maka menjauhi iri hati merupakan tindakan preventif yang sangat tepat.

Baca seterusnya...

Pemotong kayu dan ayam sakti

Pada zaman dahulu ada seorang pemotong kayu api. Setiap hari dia pergi ke huta untuk mencari kayu api. Kayu api yang diperolehnya itu akan dijualkan di pekan. Maka dia pun mendapat upah, dan dengan upah itulah dia menyara keluarganya seramai empat orang.

Sejak bertahun-tahum mencari kayu api, pematong kayu api itu tidak juga kaya-raya. Malah kehidupannya semakin bertambah susah pula. Apa lagi memikirkan anaknya yang semakin membesar.

“Sudah bertahun-tahun aku bekerja,Sanah,” kata pemotong kayu api merungut nasibnya. “Kehidupan kita macam ini juga. Tidak juga kaya raya!”


“Bersabar sajalah bang,” jawab Sanah pula.“Mungkin belum masanya lagi kehidupan kita berubeh. Kalau hendak jadi kaya, sekelip mata pun akan kaya.”


Pemotong kayu api itu hanya mampu mengeluh. Jawapan isterinya tidak pun menggembirakan hatinya. Malah, dia terasa semakin menyesakkan fikirannya pula. Yang bekerja cuma dia seorang saja.


Pada suatu hari, pemotong kayu api keluar dari rumahnya seperti biasa. Berbekalkan nasi himpit dan sebotol air kosong,pemotong kayu api itupun meninggalkan rumahnya.


“Mudah-mudahan adalah hendaknya rezeki untukku,” kata pemotong kayu api ketika melangkah masuk kedalam hutan. Dipandang kearah pokok-pokok kayu yang berjajar itu.


Parang yang dibawanya dari rumah dipegang dengan kemas. Kemudian dengan penuh tenaga, pemotong kayu api itu pun mula menebang kayu yang agak besar. Lama-kelamaan pokok kayu yang agak besar itu pun tumbang. Dikerat –kerat pula sedepa-depa,, lalu dikumpulkan di satu tempat sebelum diikat dengan tali.


Pemotong kayu api terus menebang kayu di hadapannya. Sebatang demi sebatang dan lama-kelaman menjadi banyak. Apabila dikumpulkan, banyak jadinya dan cukup untuk hari itu. Maka pemotong kayu itu pun duduklah sebentar untuk berehat.


“Apalah malang nasib diriku” kata pemotong kayu api itu mengeluh.“Bilalah aku akan jadi kaya.” keluhan pemotong kayu itu didengari oleh pokok tempat dia bersandar. Maka berkatalah pokok itu,“Kasihan sungguh aku mendengar keluhan kamu wahai pemotong kayu.”


Mendengar pokok itu berkata-kata, pemotong kayu itu pada mulanya berasa hairan. Ditoleh kekiri dan kekanannya, bagi memastikan siapakah yang berkata-kata kepadanya.“Siapakah yang berkata begitu kepadaku?” fikir pemotong kayu dengan hairan.


Setelah menyedari tiada sesiapa disitu dan tahu bahawa yang bercakap itu adalah pokok tempat dia bersandar, maka pemotong kayu api itu pun berkata,“Aku sudah jemu menjadi pemotong kayu api”


“Baiklah aku akan berikan kepada kamu seekor ayam sakti.” kata pokok itu lagi .“Peliharalah ayam sakti ini baik-baik. Jangan sesekali kamu sakitinya.”


Pemotong kayu itu terdiam seketika. Antara percaya atau tidak, dia memandang ke arah pokok tempat dia bersandar itu.


`Ayam ini akan berbakti kepada kamu asalkan kamu tidak tamak,”jelas pokok itu lagi.“Itulah ayam sakti kamu,”kata pokok itu. “Ingatlah pesanan aku, ayam ini akan berbakti kepada kamu, asalkan kamu tidak tamak!”


Denagn perasaan gembira, pulanglah pemotong kayu itu sambil membawa ayam sakti yang diberikan oleh pokok itu. Dikeleknya ayam itu baik-baik. Sambil berjalan dia berfikir-fikir apakah ayam ini benar-benar sakti.


Nemun begitu, pemotong kayu itu berasa gembira atas pemberian pokok itu yang berupaya merubah kehidupannya. Sewaktu pemotong kayu itu tiba dirumah, Sanah dan anaknya yang berempat itu sedang menunggunya. Sanah agak terkejut apabila pemotong kayu membawa pulang seeekor ayam.


“Dari manakah abang mendapat ayam ini?” tanay Sanah dengan gembiranya. “bolehlah kita jadikan lauk untuk makan malam anak beranak nanti.” “Eh ini ayam sakti” kata pemotong kayu“kita tidak boleh sembelih ayam ini”


Sanah agak terkejut dan kecewa. Selama ini keluarganya hanya makan ikan kering bersambal saja. Malam ini dia menyangka rezeki mereka akan berubah namun sangkaannya meleset sekali.


“Ayam ini akan berbakti kepada keluarga kita,” kata pemotong kayu mengingatkan isterinya.“Kehidupan kita akan berubah tidak lama lagi”


Semenjak ayam sakti itu berada di rumah mereka , pemotong kayu tidak kehutan lagi. Sebaliknya, dia asyik menunggu ayam itu mengeluarkan saktinya. Tetapi, sehari demi sehari ayam sakti itu hanya berada didalam rebannya.


Pemotong kayu pun terus menunggu selama beberapa hari, sehingga mengelisahkan isterinya. Sejak itu juga pemotong kayu tidak lagi pergi kehutan, sedangkan beras serta bahan makanan telah pun susut.


Pada suatu hari setelah bangun pagi, pemotong kayu amat terkejut melihatayam itu bertelurkan sebiji telur emas. Pemotong kayu pun memriksa telur itu dan dibawanya kepada isterinya.


“Sanah, ayam ini bertelurkan telur emas,” kata pemotong kayu memberi tahu isterinya. Apalagi Sanah dan keempat-empat anaknya pun berebut–rebut hendak melhat telur emas itu. Mereka tidak menyangka ayam itu benar-benar ayam sakti. Sanahlah yang gembira sekali. “Kita jualkan telur emas ini,”kata Sanah. “Kita tunggu dahulu,”kata pemotong kayu. “Kenapa harus ditunggu lagi?” tanya Sanah kurang bersetuju dengan tegahan suaminya.“Aku mahu menunggu esok lagi,”kata pemotong kayu.


Pada keesokan harinya,ayam itu mengeluarkan sebiji lagi telur emas,dan begitulah seterusnya.Ayam itu tidak henti-henti mengeluarkan telur emas.Pemotong kayu pun menjual telur itu.Kini kehidupan mereka telah berubah menjadi orang kaya.


Semenjak itulah kehidupan keluarga pemotong kayu telah banyak berubah.Daripada seorang yang miskin,menjadi kaya-raya.Makanan dan pemakaian turut berubah dengan mendadak.“Aku tidak akan menjadi pemotong kayu lagi,”kata pemotong kayu kepada isterinya.Walaupun telah menjadi kaya tetapi pemotong kayu masih tidak berpuas hati.Dia mahu lebih kaya.Sebab itulah dia mahu ayam itu terus bertelurkan emas lebih banyak.Oleh itu diberikannya ayam sakti itu makan dengan banyaknya,melebihi daripada biasa.Tujuannya supaya ayam sakti itu bertelur lebih banyak.


“Aku mahu jadi lebih kaya,”kata pemotong kayu kepada ayam sakti yang sedang makan itu.Pada keesokan harinya, ayam itu pun mengeluarkan dua biji telur emas.Pemotong kayu sangat gembira.Maka diberikannya lagi ayam itu makan sebanyak-banyaknya Kerana terlalu banyak bertelur,ayam sakti itupun sakit dan tidak dapat bertelur lagi.


Pemotong kayu sangat marah.Dia tetap mahu supaya ayam itu bertelur seperti biasa.Lantas pemotong kayu itupun memegang leher ayam sakti itu.“Ayam tak guna!Kalau tidak boleh bertelur lagi,lebih baik aku sembelih saja”kata pemotong kayu.Dipicitnya leher ayam itu sehingga mati.


Ketika dilepaskan semula,ayam itu sukar untuk bergerak.Malah ayam sakti itu semakin lemah.Pemotong kayu sangat geram melihat ayam sakti itu hampir mati.“Lebih baik aku sembelih saja,”kata pemotong kayu itu sambil membuat keputusan.“Mana tahu dalam perutnya banyak lagi telur emas yang belum keluar”fikirnya lagi.


Maka pemotong kayu itupun mengambil sebilah pisau.Ayam sakti itupun disembelihnya.Sekonyong-konyong pemotong kayu itu rebah dan seluruh badannya mula ditumbuni bulu ayam.“Apa yang telah terjadi padaku?”bisik pemotong kayu sambil meraba-raba badannya.Lengan,kaki dan badannya mula ditumbuhi bulu dengan banyaknya.


Sanah,isteri pemotong kayu itu dan anak-anak mereka terkejut melihat pemotong kayu ditumbuhi bulu.mereka berasa hairan dan ketakutan.“Apa yang terjadi pada abang?”tanya Sanah sambil memandang suaminya itu.“Seluruh tubuh abang telah ditumbuhi bulu ayam!”


Akan tetapi , pemotong kayu itu tidak dapat menjawab. Dia menyedari tubuhnya perlahan-lahan bertukar menkadi seekor ayam jantan. Lalu ayam jantan itupun terbang pergi kedalam hutan.


Maka, tinggallah Sanah dengan anak-anaknya dirumah mereka. Mereka sedih mengenangkan nasib pemotong kayu yang menjadi ayam jantan itu.

KUNTUM,JULAI 2004

Baca seterusnya...

Taniah ... Karnival Pra Sekolah

Sekalung tahniah untuk peserta karnival Pra Sekolah SKPHT yang telah berjaya dalam pertandingan tersebut. Karnival Pra Sekolah kelompok Bagan Serai yang telah berlangsung pada hari sabtu 10 oktober 2009 di SK Along Pongsu telah disertai lebih dari 10 buah sekolah. Berbagai acara telah dipertandingkan.

Tiga orang peserta dari murid Pra Sekolah SKPHT telah berjaya menjadi pemenang. Saya telah menduga sejak dari awal lagi bahawa mereka pasti akan berjaya berdasarkan pemerhatian melalui persembahan mereka pada perhimpunan pagi jumaat lalu. Saya lihat mereka begitu berani dan berkeyakinan tinggi. Biasanya kanak-kanak Pra Sekolah akan takut atau menangis apabila diminta naik ke atas pentas, tetapi mereka tidak begitu.Mereka dapat menghafal skrip cerita Bahasa Melayu dan Inggeris dengan baik dan lancar.

Antara yang berjaya ialah peserta bercerita Bahasa Melayu yang mendapat tempat pertama. Bercerita Bahasa Inggeris mendapat tempat kedua dan peserta menyusun perkataan juga mendapat tempat kedua.
Tahniah kepada guru pra sekolah (Pn Rohani) . Kejayaan ini adalah satu permulaan yang baik kerana pra sekolah baru dua tahun dilaksanakan di SKPHT.

Pemenang tempat pertama bercerita Bahasa Melayu

Pemenang tempat kedua bercerita Bahasa Inggeris

Pemenang tempat kedua menyusun perkataan


Baca seterusnya...

Awas Apa Yang Dimakan, Anda Boleh Kena Diarhea

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Penulis ini menyambut satu Syawal di sebuah petempatan Felda di Triang, Pahang. Pada sebelah malamnya penulis dan beberapa anggota keluarga beliau mengalami sakit perut dan cirit-birit (diarhea).

Semasa mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta keesokan harinya, beliau mendapati agak ramai pesakit yang sedang menunggu giliran berjumpa doktor.

"Ramai yang mengadu sakit perut dan cirit-birit pada sebelah malam, mungkin kerana makan banyak menyambut Aidilfitri," kata seorang jururawat di klinik itu.

Seorang pengamal perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Rajan berkata jika seseorang membuang air besar dan najisnya begitu cair, lebih tiga kali dalam sehari, berkemungkinan dia sedang mengalami diarhea.

"Diarhea jenis akut ialah masalah biasa dan lazimnya diarhea ini berlanjutan satu atau dua hari sahaja dan akan hilang tanpa apa-apa rawatan khas," kata beliau.

Dr Rajan berkata diarhea akan menyerang tidak kira umur dan biasanya seorang dewasa akan mengalami diarhea lebih kurang lima kali dalam setahun.

DIARHEA BERLANJUTAN

Cirit-birit yang berlanjutan lebih daripada dua hari mungkin tanda bagi masalah yang lebih serius dan boleh menyebabkan dehidrasi (badan terlampau kering dan kekurangan cecair), menurut seorang pegawai perubatan di sebuah hospital awam di sini.

"Diarhea boleh menyebabkan dehidrasi di mana badan manusia menjadi kekurangan cecair untuk berfungsi dengan baik. Ini memang mudarat dan bahaya terutama bagi anak kecil dan orang tua. Kalau mereka kena diarhea, rawatan perlu diberikan dengan segera untuk mengelak daripada komplikasi yang serius," kata beliau.

Kata pegawai perubatan itu, selain dari salah makan, diarhea yang akut juga boleh disebabkan jangkitan kuman, virus atau parasit manakala diarhea yang kronik biasanya mempunyai talian dengan sindrom iritasi atau penyakit radang usus.

SIMPTOM DIARHEA

Bila ada diarhea, akan ada juga kejang otot, sakit di bahagian abdomen (perut) kembung perut, rasa mual serta perlu untuk menggunakan tandas dengan segera dan berulang-kali.

"Kalau anak anda diserang diarhea, janganlah berlengah untuk mendapatkan rawatan doktor kerana memang bahaya bagi bayi atau anak kecil. Ia juga menyebabkan dehidrasi berlaku dalam jangka masa satu atau dua hari dan seorang anak kecil boleh meninggal dunia jika berlakunya dehidrasi selama beberapa hari.

"Rawatan utama bagi kanak-kanak yang diserang dehidrasi ialah dengan menggantikan cecair yang hilang dengan secepat mungkin," kata pegawai perubatan itu.

Bila berlakunya dehidrasi, badan akan hilang banyak cecair serta elektrolit dan ini menyebabkan kegagalan berfungsi dengan sempurna.

BILA PERLU JUMPA DOKTOR

Kebiasaannya diarhea tidaklah berbahaya bagi seorang dewasa tapi ia mungkin merupakan gejala bagi masalah yang lain. Seseorang yang diserang diarhea perlu dengan segera berjumpa doktor bila beliau mengalami keadaan seperti berikut:

- diarhea berlanjutan lebih daripada tiga hari

- sakit teruk di bahagian abdomen atau dubur

- suhu demam yang tinggi

- najis berdarah

RAWATAN

Bagi pegawai perubatan itu, dalam kebanyakan kes diarhea, penggantian cecair yang hilang untuk menghalang dehidrasi daripada berlaku sudah memadai untuk rawatan diarhea.

"Ubat yang bertindak menghalang cirit-birit boleh membantu, tapi tidak digalakkan bagi kes diarhea yang disebabkan jangkitan bakteria atau parasit.

"Kalau diarhea dihentikan sebelum semua bakteria dan parasit keluar dari badan, anda mungkin memerangkap kuman-kuman ini di dalam usus dan ini akan memanjangkan masalah yang berlaku. Biasanya doktor akan memberikan antibiotik. Bagi jangkitan virus, ubat akan diberikan atau dibiarkan sahaja bergantung pada jenis virus dan sama ada serius atau tidak diarhea itu".

Beliau ada nasihat untuk mereka yang diserang diarhea.

"Kalau diarhea belum reda, elakkan daripada makanan atau minuman yang berkafein, produk susu, serta juga makanan yang berminyak, mengandungi fiber yang tinggi atau yang sangat manis. Makanan ini boleh memburukkan lagi cirit-birit".

Beliau mengulangi bahawa diarhea ialah masalah biasa dan akan hilang dengan sendiri tetapi diarhea juga boleh menjadi berbahaya jika seseorang yang diserang cirit-birit mengalami dehidrasi.

-- BERNAMA

Baca seterusnya...

Karnival Pra Sekolah


Jumaat 9 0kt 2009, Perhimpunan pagi ini diserikan dengan persembahan murid-murid Pra sekolah yang akan menyertai pertandingan Karnival Pra sekolah pada esok hari (sabtu 10 okt 2009) di SK Alor Pongsu. Seramai 4 orang murid telah menunjukkan bakat mereka sebagai persediaan esok hari.
Antara acara yang akan disertai oleh mereka ialah bercerita Bahasa Melayu, bercerita Bahasa Inggeris, sajak dan Tahfiz. Mereka telah menunjukkan keberanian dan keyakinan yang tinggi pada pagi ini. Seluruh warga SKPHT mendoakan kejayaan mereka esok hari.

Baca seterusnya...

Kursus aplikasi ict dalam P&P Pen Islam


Selasa 6 Oktober 2009, Seramai 33 orang guru GPI dan j-QAF menghadiri kursus aplikasi ict dalam P&P bertempat di PKG Parit Buntar. Dua orang guru dari SKPHT terlibat selaku juru latih dalam kursus ini. Kursus ini berlangsung selama 3 hari bermula dari 6 hingga 8 oktober 2009 (selasa hingga khamis).

Para peserta diberi pendedahan mengenai internet dan ict serta cara mendapatkan bahan P&P dari internet. Matlamat kursus ini ialah para perserta dapat menghasilkan satu bahan P&P dalam bentuk Power Point untuk dikongsi oleh semua guru.

Fasilitator Kursus

Ucapan perasmian dari Tn Hj Abd Rahman B Hj Abd Hamid
(Penyelia Kanan Pen Islam)

Sebahagian daripada peserta wanita

Sebahagian daripada peserta lelaki

Sarapan pagi ... Nasi lemak spesial

Baca seterusnya...

Tajam Minda ... Uji IQ anda

Di bawah ini ada 3 soalan untuk anda jawab secepat mungkin. Jangan terkebil-kebil atau fikir lama sangat . Teka-teki ini untuk menguji sejauh mana IQ anda. Kalau jawab lambat, sendiri faham la tahap IQ anda di mana.

Soalan pertama :
Anda masuk perlumbaan lumba lari. Di pertengahan jalan anda memotong peserta di tempat kedua. Sekarang anda berada di kedudukan yang mana ?
Jawapan :
Pertama ? Kalau anda menjawab yang pertama maknanya anda SALAH ! kalau anda memotong peserta yang kedua bermakna anda di tempat kedualah.
Haa … jangan main-main bagi soalan berikut ini.

Soalan Kedua :
Anda memotong pula peserta yang terakhir. Di mana pula kedudukan anda sekarang ?
Jawapan :
Kalau anda jawab 'kedua terakhir' jawapan anda SALAH!!.
Beritahu saya, macam mana anda boleh memotong orang yang terakhir ?

Soalan ketiga :
Bapa mary ada 5 orang anak perempuan iaitu Nana, Nene, Nini, Nono. Siapakah nama anak yang kelima ?
Jawapan :
Nunu ? … SALAH !... Salah ! … mana pulak datang si Nunu? Jawapannya mary lah !

Soalan Bonus :
Ada seorang bisu hendak membeli berus gigi. Sampai di kedai, diapun menggayakan cara menggosok gigi. Dapatlah dia sebatang berus gigi.
Kemudian datang pula seorang buta nak beli cermin mata. Haa … macam mana dia nak beritahu pekedai itu ?
Jawapan :
Gayakan cara orang pakai cermin mata, sangkut di telinga ?
SALAH ! Cakap sajalah " Encik, saya nak beli cermin mata" habis cerita.
Dia bukannya bisu!.

Hai !!, macam mana ni. Oleh itu saya nasihatkan anda banyak-banyakanlah membaca. Jangan ambil mudah dengan perkara-perkara disekeliling kita. Teruskan usaha . Tingkatkan IQ anda.

Baca seterusnya...

Sekalung Budi Secebis Rasa


Jumaat 2 Oktober 2009 merupakan hari terakhir seorang warga SKPHT berkhidmat di skolah ini. Seluruh warga SKPHT mengucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan dan khidmat bakti kepada guru sandaran sekolah ini, Cik Suliza bt Abd Rashid yang telah berkhidmat selama 14 minggu di SKPHT.Cik Suliza telah menggantikan Cikgu Mustafa Kamal yang telah mengikuti kursus 14 minggu di Maktab Perguruan Tuanku Bainun.Semoga pengalaman yang diperolehi di sini dapat digunakan sebaik mungkin pada masa hadapan terutamanya jika menjadi guru suatu hari nanti.

Ucapan perisahan untuk murid-murid SKPHT

Bagaimanapun melalui temu bual saya dengan beliau, Cik Suliza iaitu seorang pemegang ijazah universiti tempatan menyatakan bahawa cita-citanya bukanlah untuk menjadi guru. Bagaimanapun beliau tetap berminat dengan profesion perguruan ini. Banyak pengalaman yang ditimba selama 14 minggu di SKPHT.Menurutnya kebanyakan murid sekolah ini masih pada tahap sederhana dan potensi mereka masih boleh dipertingkatkan lagi.Manakala kesungguhan guru untuk meningkatkan prestasi murid di SKPHT adalah pada tahap tertinggi hingga sanggup berkorban masa, tenaga, wang ringgit dan cuti untuk murid.

En Mohd Salji (PK Pentadbiran) menyampaikan cendera hati kepada Cikgu Suliza

Baca seterusnya...

RIMUP : Mesra Raya Aidil Fitri


Khamis 1 Oktober 2009,Satu program RIMUP (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan) telah dilaksanakan bertemakan "Mesra Raya Aidil Fitri". Program ini adalah dibawah kelolaan HEM (Hal Ehwal Murid).
Rasional mengapa tema ini yang dipilih adalah untuk memahami, merayakan dan menghidupkan suasana Aidil Fitri untuk membentuk semangat kerjasama, perasaan muhibah dan semangat persaudaraan antara satu sama lain.
Matlamatnya adalah untuk menerap dan mengekalkan semangat cintakan agama, menghargai diri dan membentuk kerjasama antara satu sama lain.
Antara objektif program ini ialah :

• Melahirkan semangat cintakan agama.
• Melahirkan perasaan saying dsn bangga terhadap agama.
• Menanamkan sikap bekerjasama , bertoleransi dan menyayangi sesame individu.
Majlis bermula pada jam 10.30 pagi dengan ucapan pengerusi majlis , diikuti dengan bacaan doa dan ucapan perasmian oleh guru besar. Majlis diteruskan dengan jamuan raya yang disediakan oleh guru-guru dan murid. Antara juadah yang disediakan oleh guru ialah ketupat nasi himpit, ketupat pulut, rending ,lontong, satay, mee goreng ,bihun goreng dan tidak ketinggalan kueh kalakatar iaitu kueh tradisional masyarakat banjar yang begitu sedap dan enak. .Murid-murid membawa kueh raya seperti biskut dan kek. Setiap murid mendapat 7 cucuk satay, manakala lain-lain makanan bebas dipih oleh murid. Majlis berjalan lancar dan begitu meriah. Majlis berakhir dengan gotong royong membersihkan pinggan mangkuk dan mengemaskan kembali dewan kantin. Majlis tamat dan bersurai jam 1.00 tengah hari.




Baca seterusnya...

PAUTAN PILIHAN

Halal Food

Blog ini tiada hak cipta terpelihara. Semua bahan-bahan dalam blog ini adalah bebas untuk dimuat turun, disiarkan semula, disalin, dicetak, diedar, dihebah dan sebagainya. Walaubagaimanapun adalah diharapkan agar dapat diberikan kredit kepada sumber bahan yang diambil itu. Semoga kita semua dapat memanfaatkan segala bahan dari blog ini.